Kami tidak bernasib baik kerana sering bertemu pasukan yang baru dibelasah JDT – Bojan Hodak

2,722

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak menganggap pasukannya kurang bernasib baik dengan jadual liga kerana sering berdepan pasukan yang baru tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Katanya, selepas tewas besar kepada JDT, semua pasukan pastinya mahu bangkit dan bermain lebih baik pada perlawanan seterusnya dan ia adalah satu cabaran buat pasukannya.


“Bagi saya kita tidak bernasib baik kerana sentiasa bertemu pasukan lawan yang baru selesai menentang JDT dan dibelasah.

Jadi apabila mereka lawan kami pada perlawanan berikutnya, pengurusan akan tekan mereka jadi mereka akan bermain bersungguh-sungguh untuk buktikan mereka bukan tak bagus,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan Liga Super menentang Sabah FC yang menyaksikan pasukannya menang 2-0.

Katanya, kemenangan pertama yang dicatatkan oleh pasukannya itu adalah penting dan berharap ia akan membentuk momentum untuk kemenangan seterusnya.

Tambahnya, ini adalah keputusan yang sangat diperlukan selepas tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Kemenangan pertama adalah amat penting lebih-lebih lagi dengan cara kita keciciran mata sebelum ini contohnya ketika menentang Penang dan Kelantan.

Kita beri ruang kepada pihak lawan untuk bangkit selepas mendahului, jadi dengan kemenangan tanpa bolos hari ini saya rasa ia akan memberi keyakinan kepada barisan pertahanan.”

Beliau menjangkakan perlawanan-perlawanan selepas ini adalah lebih mudah memandangkan mereka telah bertemu banyak pasukan besar dalam liga.

Katanya, mereka harus mengambil kesempatan untuk mengutip sebanyak mata dan mengekalkan momentum kemenangan.