Tak semestinya kena masuk BAM, kalau Lee Zii Jia mahu berlatih di Ipoh sekalipun kita akan bantu – Hannah Yeoh

254

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa Lee Zii Jia tidak semestinya perlu menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk dimasukkan dalam projek Road To Gold (RTG).

Beliau berkata bahawa pihaknya akan berusaha untuk membantu setiap atlet yang terlibat dalam projek RTG walaupun tidak melalui persatuan sukan kebangsaan.


“Tiada format khusus yang katakan bahawa projek ini perlu melalui persatuan sukan kebangsaan, jadi untuk berspekulasi bahawa beliau akan kembali ke BAM masih awal lagi.

Jika Zii Jia katakan beliau mahu berlatih di Ipoh sekalipun kita akan cari jalan untuk bantunya mengikut kemampuan dan juga perbincangan pihak kita,”

katanya.

Jelasnya, beliau akan bertemu dengan Zii Jia pada esok hari untuk berbincang dengan pemain itu.

Sementara itu, beliau tidak menganggap Zii Jia diberi layanan emas oleh pihaknya dan menegaskan bahawa keperluan setiap atlet adalah berbeza.

“Kita tahu jangkaan terhadap Zii Jia adalah lebih tinggi dan tarikan terhadapnya juga lebih tinggi, artikel mengenai pertemuan saya dengan beliau juga saya dah banyak kali.

Setiap atlet mempunyai keperluan dan cabaran yang berbeza justeru kita akan adakan perbincangan dengan mereka mengenai apa yang diperlukan supaya kita dapat buang ‘roadblocks’ yang mengganggu atlet.”

Katanya terdapat bekas atlet yang berpengalaman iaitu Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Minarwan Nawawi yang boleh memberi nasihat mengenai keperluan atlet.

Mereka juga boleh melihat sama ada apa yang diminta oleh atlet adalah wajar atau tidak.