Tiada jaminan dalam sukan, yang penting kita dah buat termampu untuk bantu atlet dapatkan emas Olimpik – Hannah Yeoh

224

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu memastikan atlet negara yang terpilih dalam program Road To Gold (RTG) untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya.

Jelasnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mahu berasa menyesal di kemudian hari tidak dapat menyelesaikan masalah atau isu yang boleh mengganggu atlet (roadblocks), yang menyebabkan peluang negara untuk mendapatkan emas pertama pada temasya itu lebur.


“Dalam sukan tiada sesiapa yang boleh beri anda jaminan, selepas kita buang roadblocks berkenaan kita hanya boleh harapkan yang terbaik buat atlet apabila bertanding.

Saya tak mahu pada masa akan datang kita lihat balik kembali dan kita menyesal kerana tidak menyelesaikan sesuatu roadblock yang menyebabkan atlet itu terlepas emas,”

katanya.

Jelas Hannah, komitmen semua atlet yang terpilih untuk program RTG adalah penting bagi menjayakan objektifnya.

Tambahnya, jawatankuasa RTG akan bertemu dengan kesemua atlet dan jurulatih mereka untuk berbincang dan mendapatkan persetujuan serta komitmen daripada mereka untuk menyertai program tersebut.

“Kita harus dapatkan persetujuan daripada semua atlet yang terpilih dan berbincang dengan mereka mengenai apa yang mereka perlukan.

Kita akan adakan perjanjian kerana perbelanjaan yang kita keluarkan ini perlukan komitmen, jika lepas kita beri semua dan atlet tidak boleh beri komitmen untuk laksanakan tanggungjawab mereka program ini tidak akan berjaya.”

Setakat ini, seramai 15 orang terpilih bagi program RTG iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus bagi sukan berbasikal; Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Pearly Tan-M Thinaah, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai bagi sukan badminton; dan Datuk Pandelela Rinong dan Nor Dhabitah Sabri bagi sukan terjun.

Jelas Hannah, ini merupakan senarai awal dan mungkin terdapat penambahan sekiranya terdapat atlet lain yang menunjukkan prestasi yang baik.