Jika ada atlet dari sukan minoriti yang berbakat pasti dibantu, kita nak beri peluang sama rata buat semua – Hannah Yeoh

130

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi jaminan pihaknya sedang memberi tumpuan kepada pembangunan lebih banyak sukan lain termasuk sukan minoriti supaya negara tidak berharap kepada sukan yang sama untuk prospek pingat di Sukan Olimpik.

Tegasnya, beliau mahu memberi semua jenis sukan peluang yang adil dan sentiasa berjumpa dengan atlet-atlet yang terlibat dengan sukan minoriti.


“Sekarang setiap minggu saya pergi jumpa sukan minoriti, saya mahu dengar luahan serta suara mereka.

Kita mahu berikan semua orang peluang sama rata, kita beri jaminan jika atlet daripada sukan minoriti bagus dan ada berbakat kita akan bantu mereka,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pengumuman senarai Atlet Road To Gold hari ini.

Beliau berkata, kini kementeriannya sudah bermula daripada peringkat Sukma untuk memastikan terdapat jumlah sukan wajib yang tetap pada setiap edisi.

Jelasnya, ia adalah untuk memberi kepastian kepada atlet yang terlibat dalam sukan itu yang telah berlatih lama untuk bertanding.

“Kita melihat kepada akta pembangunan sukan, ada banyak tahap untuk pembangunan bakat dan sebab itu kita bermula daripada Sukma.

Kita dah putuskan sudah tiba masanya kita ada jumlah sukan yang tetap, perlu ada kepastian untuk atlet yang berlatih.”

Sementara itu, penyelaras program RTG, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan melihat keperluan atlet di bawah program RTG supaya perbelanjaan yang dikeluarkan wajar dengan komitmen atlet.

Katanya, objektif utama adalah menghapuskan segala gangguan terhadap atlet (roadblocks) untuk bertanding di Sukan Olimpik.

“Segala perbelanjaan haruslah wajar dengan komitmen, jadi kita harap atlet akan ambil perkara ini dengan positif kerana seluruh negara memberi sokongan di belakang mereka.

Permintaan mereka bukan murah dan bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan mudah jadi komitmen haruslah setimpal dengan permintaan.”

Tambahnya, akan ada proses pemantauan secara berkala yang akan dilakukan oleh jawatankuasa RTG setelah perjanjian dicapai dengan atlet-atlet yang terlibat.