Hamidin Amin akui undian Sukan SEA Kemboja adalah yang terbaik untuk skuad negara

310

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Amin tidak menganggap undian temasya Sukan SEA Kemboja 2023 adalah yang terbaik buat pasukan kebangsaan B-22 walaupun ramai yang menganggap Kumpulan B adalah kumpulan ‘maut’.

Dalam undian yang berlangsung Rabu lalu menyaksikan skuad Harimau Muda akan berada dalam kumpulan bersama juara bertahan Vietnam, pasukan pilihan Thailand, Singapura dan Laos.


“Okay undian Sukan SEA ni ramai orang kata kumpulan maut, sebenarnya tidak. Semalam saya ada mesyuarat dengan ketua jurulatih E. Elavarasan dan saya berkata ini adalah undian terbaik.

Biar kita bertemu pasukan kuat awal supaya kita akan mara ke separuh akhir dan akhir dengan lebih cepat. Jadi saya sudah tanamkan pada pemain dan Elavarasan dengan berkata ‘kita jumpa Thailand dan Vietnam awal lagi senang kita nak buat’,”

katanya.

Hamidin berkata situasi yang berlaku skuad Harimau Muda kali ini adalah sama seperti yang berlaku pada Sukan SEA 2011 yang mana ketika itu beliau merupakan pengurus pasukan dengan Datuk Ong Kim Swee merupakan ketua jurulatih.

Menurutnya, ketika itu skuad negara turut diundi dalam kumpulan ‘maut’ tapi mereka akhirnya berjaya merangkul pingat emas pada edisi 2011.

Dalam pada itu, Hamidin berkata dalam kejohanan yang menggunakan format karnival tumpuan penuh harus diberikan supaya pemain memberikan komitmen yang tinggi sepanjang kejohanan termasuk mengurangkan kecederaan pemain.

Biarpun diundi dalam kumpulan yang sukar, Hamidin tetap dengan sasaran awal mereka iaitu mahu skuad negara layak ke perlawanan akhir.

“Sasaran kita tetap mahu layak ke perlawanan akhir Sukan SEA. Tidak ada kurang.”

Skuad negara dalam misi penting pada Sukan SEA edisi kali ini iaitu untuk cuba menamatkan kemarau pingat emas dalam acara bola sepak selepas kali terakhir berjaya melakukannya kira-kira 12 tahun yang lalu.