Kini hanya Sri Pahang FC jadi penghalang JDT
Saingan Liga Super sudah pun memasuki minggu ke lapan dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan dominasi sepenuhnya apabila berjaya berada di puncak liga.
Bukan sahaja mereka berjaya menang lapan perlawanan berturut-turut, malah mereka juga berjaya menjaringkan 36 gol dan hanya bolos satu sahaja dengan mangsa terbaru mereka Kedah Darul Aman FC yang dibelasah 6-0 semalam.
Walaupun saingan liga masih di awal musim, namun dengan prestasi menakjubkan yang dipamerkan oleh JDT telah membuatkan ramai yang sudah dapat menjangkakan bahawa pasukan itu bakal menjuarai Liga Super kali ke-10 berturut-turut pada hujung musim ini.
Ini kerana tiga kelab yang disebut-sebut bakal menjadi pencabar utama sudah pun ditewaskan iaitu Sabah FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC.
Dengan keadaan semasa JDT ketika ini, tampak mustahil untuk mereka tewas sepanjang musim ini, namun mungkinkah Sri Pahang FC akan menjadi ‘kuda hitam’ JDT musim ini?
Bagi yang mengikuti perkembangan Liga Super pada musim lalu semua sedia maklum bahawa Sri Pahang menjadi satu-satunya pasukan yang tidak tewas di tangan JDT dengan kedua-dua perlawanan liga berakhir dengan keputusan seri.
Sri Pahang pada musim ini tampak semakin mantap sejak dikendalikan oleh Fandi Ahmad dan mereka kini berada di kedudukan keempat liga selepas tujuh perlawanan hasil empat kemenangan dan tiga seri.
Dengan rekod tanpa kalah, Sri Pahang kini menjadi penghalang buat JDT untuk mendominasi sepenuhnya.
Rata-rata penyokong Tok Gajah melihat musim 2023 adalah musim kebangkitan pasukan kesayangan untuk kembali menjadi gergasi Pantai Timur seperti satu ketika dahulu.
Sri Pahang dan JDT akan bertemu pada 24 Mei ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).