Perlukah khidmat pemain import dalam ‘feeder club’?
Beberapa pasukan dalam Liga Malaysia telahpun mewujudkan ‘feeder club’ ataupun dipanggil sebagai ‘development team’ yang menekankan pada pembangunan pemain dari akar umbi.
Namun sejak akhir-akhir ini, kebanyakan feeder club terlalu fokus mendapatkan khidmat pemain import sehinggakan lupa akan peranan utama feeder club itu sendiri.
Persoalannya, jika alasan feeder club ini terpaksa menggunakan pemain import untuk bersaing di Liga Premier atau Liga M2 dengan kompetitif, adakah pasukan tersebut akan melayakkan diri ke liga yang lebih baik? Bagaimana perihal tersebut dijadikan alasan sedangkan tujuan utama feeder club adalah menyokong pasukan utama?
Seharusnya pihak MFL perlu menetapkan bahawa setiap pasukan yang ingin mewujudkan feeder club perlu membuka peluang dan menggilap pemain muda tempatan sahaja. Atau feeder club itu sendiri tidak perlu menggunakan kuota pemain import secara maksima. Susulan kenyataan FAM mengenai kuota pemain import Liga Malaysia dikekalkan sebanyak empat atau lima pemain.
Antara persoalan lain mengenai adalah mengapa sesebuah pasukan yang mempunyai feeder club tidak memberi peluang kepada pemain muda mereka ini untuk menyertai skuad senior malah sebaliknya, mereka giat membeli pemain baru dan menafikan peranan feeder club sebagai ‘pembekal’ pemain mereka? Apa motifnya? Andai begitu, sampai bila pemain dari feeder club ini tidak akan berpeluang untuk bersaing di liga yang lebih baik dan didedahkan dengan perlawanan yang lebih mencabar?
Walaupun akan mengambil masa yang agak panjang, kita harus memberi kepercayaan kepada bakat-bakat baru ini untuk mengenalpasti bakat dan kebolehan mereka untuk menyinar. Kalah tidak mengapa, asalkan mereka diberi peluang untuk berdikari tanpa bantuan pemain import dan bukannya sekadar menjadikan feeder club sebagai tempat untuk meletakkan pemain lebihan.
Malah, kuota lima pemain import yang terlalu ramai juga hampir atau sudah menutup peluang untuk pemain tempatan menyerlah kerana jarang dijadikan pilihan utama dan mempunyai minit perlawanan yang sedikit. Ini akan menyekat peluang mereka untuk berkhidmat untuk pasukan kebangsaan sekaligus tidak dapat bermain di peringkat antarabangsa.
Tepuk dada, tanya kembali apakah sebenarnya tujuan anda mewujudkan feeder club? Hal ini kerana setiap pasukan ini mempunyai mentaliti dan pandangan berbeza mengenai feeder club ini. Pastinya harapan penyokong bola sepak tempatan agar kewujudan feeder club ini akan mencorakkan masa depan pasukan negara dengan kewujudan prospek pemain kebangsaan yang lebih berkualiti.