Perlu ke rahsiakan Scott O’Donnell sebagai Pengarah Teknikal FAM baru?

407

Sebentar tadi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru sahaja mengumumkan Pengarah Teknikal baru iaitu Scott O’Donnell bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang telah meletak jawatan tahun lalu.

Dalam pengumuman tersebut, FAM memaklumkan O’Donnell akan memulakan tugas barunya bermula hari ini.


Bagaimanapun apa yang membuatkan orang ramai terutamanya peminat bola sepak tanah air tertanya-tanya mengapa FAM perlu menyembunyikan perkara itu daripada peminat.

Walaupun sebelum ini terdapat khabar angin yang menyebut O’Donnell bakal mengambil alih tugas Ong Kim Swee, namun FAM menerusi Setiausaha Agung-nya, Saifuddin Abu Bakar enggan mengulas mengenai identiti pengarah teknikal baru itu.

Saifuddin meminta orang ramai menunggu pengumuman rasmi yang akan diadakan pada 5 Januari (hari ini) kerana pihak yang terlibat sedang menjalani kuarantin.

Apa yang cuba FAM sembunyikan sedangkan sebuah portal dari Singapura melaporkan jurulatih dari Australia itu berada di Kuala Lumpur untuk memulakan tugas baru sebagai pengarah teknikal baru FAM.

Peminat melihat tindakan FAM ini seperti melakukan kerja tidak telus kerana gemar membuat urusan secara senyap-senyap seperti sebuah organisasi rahsia kerajaan pula.

O’Donnell merupakan bekas pemain import Kuala Lumpur pada tahun 1994 hingga 1995. Beliau kemudian berhijrah ke Liga Singapura bersama Tampines Rovers sebelum menjadi jurulatih Geylang United.

Selepas itu beliau dilantik sebagai ketua jurulatih untuk skuad kebangsaan Kemboja selama lima tahun sebelum menjadi Pengajar Kejurulatihan Akademi Bola Sepak India (AIFF).

Berdasarkan rekod yang baik O’Donnell, peminat tidak nampak punca atau sebab mengapa FAM perlu sembunyikan berita baik seperti ini. Ada udang di sebalik batu ke?

Jika jawatan pengarah teknikal pun FAM nak sembunyikan, agaknya apa lagi yang FAM sembunyikan daripada peminat bola sepak tempatan?

Peminat kini turut ternanti-nanti siapakah FAM akan lantik untuk menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baru bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan baru-baru selepas Malaysia tersingkir awal dalam saingan Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.