Sudah tiba masanya hak pengadil diperjuangkan supaya kualiti pengadilan dapat ditingkatkan
Sedih tapi benar! Itulah nasib pengadil-pengadil bola sepak tanah air apabila hanya menerima bayaran yang cukup tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh mereka mengadili perlawanan bola sepak profesional di Liga Malaysia.
Mungkin kerana minat yang mendalam dalam dunia pengadilan dan bola sepak menjadi faktor utama mengapa ramai yang terus kekal menjadi pengadil separa masa.
Pengadil adalah individu yang sangat penting dalam setiap perlawanan kerana keputusan perlawanan boleh dipengaruhi oleh setiap keputusan yang dibuat oleh mereka, tapi sayangnya kelibat mereka ini hanya dilihat sebagai picisan.
Isu mutu pengadilan terutamanya Liga Super sudah beberapa musim menjadi pertikaian ramai baik peminat, pemain, ketua jurulatih dan ramai lagi, namun sehingga ke hari ini masih tiada inisiatif yang agresif dilakukan untuk mempertingkatkan kualiti pengadilan.
Looking at the difference, our referees are actually doing a public service. Got the rates below from a buddy referee. cc: @HareshDeol https://t.co/iYT7XhkiHD pic.twitter.com/W3gpnxumln
— BahasBola (@MYBahasBola) April 9, 2023
Salah pengadil itu sendiri atau salah badan yang mengendalikan pengadil untuk saingan Liga Malaysia?
Yang pasti bukan salah pengadil itu sendiri kerana berdasarkan satu carta elaun tugasan pegawai perlawanan yang tersebar di media sosial memperlihatkan pengadil dan pegawai perlawanan di Liga Malaysia mendapat bayaran ‘ciput’.
Jadi, tidak hairan apabila kualiti pengadilan bola sepak tanah air semakin merosot walaupun kualiti liga dan pemain bola sepak semakin meningkat.
Sebagai contoh, untuk pengadil yang mengadili perlawanan Liga Super, pengadil utama hanya diberikan elaun sebanyak RM500 sahaja; penolong pengadil 1 & 2 pula dibayar RM400; pegawai keempat RM250; penilai pengadil RM400 dan komisioner perlawanan RM400.
Sad but true. Sebab tu kita x ramai pengadil full time, sbb income di bawah gaji minimum, nak x nak kena ada kerja tetap lain lepas tu pengadil part time, tu yg kes kurang fokus. Belum masuk kos lain mcm wisel, flag, inter comm & spray pakai buang, guna duit pengadil sendiri https://t.co/BD9dhZarnG
— Pemerhati Pengadil (@pengadilbola) April 9, 2023
Jika pengadil dan pegawai perlawanan untuk perlawanan Liga Super dibayar begitu rendah, bayangkan jumlah bayaran yang diterima oleh mereka yang mengadili perlawanan Piala MFL (Liga Simpanan), Piala Presiden, Piala Belia dan kebawah.
Ramai pengadil yang mahu menjadikan kerjaya pengadilan sebagai kerjaya profesional dan utama tetapi tidak dapat berbuat demikian dek bayaran yang sedikit.
Difahamkan juga pengadil juga perlu mengeluarkan kos sendiri untuk membeli wisel, bendera, intercom (alat komunikasi) dan spray pakai buang.
Pihak berwajib iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertanggungjawab dan melakukan sesuatu untuk memperjuangkan hak-hak pengadil yang sering kali dianaktirikan.
Mungkin FAM boleh menjadikan Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) yang mengadili English Premier League (EPL) sebagai contoh terbaik.
Ini kerana PGMOL yang ditubuhkan pada tahun 2001 adalah untuk meningkatkan standard pengadilan dalam kesemua kejohanan yang dianjurkan oleh Premier League, English Football League (EFL) dan Persatuan Bola Sepak England dengan ketiga-tiga organisasi ini memberi dana kepada PGMOL.
PGMOL akan melatih, membangunkan dan menjadi mentor kepada 117 pengadil dan 177 penolong pengadil.
Mereka bukan bertindak sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pengadil-pengadil sahaja, sebaliknya mereka beroperasi seperti sebuah kelab bola sepak profesional apabila mereka mempunyai sendiri saintis sukan, ahli psikologi sukan, penganalisis prestasi, ahli fisioterapi, jurulatih kecergasan dan banyak lagi untuk meningkatkan kualiti pengadilan.
Nak seribu daya, tak nak seribu dalih! Sekiranya FAM benar-benar serius mahu meningkatkan kualiti pengadilan, sesuatu perlu dilakukan dengan segera.
Kita tidak mahu lagi setiap perlawanan ada sahaja keputusan pengadilan yang menjadi pertikaian.
Diharap juga perancangan untuk memperkenalkan VAR (video assistant referee) dapat dipercepatkan supaya dapat bantu pengadil untuk buat keputusan dengan lebih tepat lain.
Sudah tiba masanya hak-hak pengadil diperjuangkan!