Luqman Hakim mahu terus kekal di Eropah selagi kontraknya belum tamat

922

Pemain kebangsaan Luqman Hakim Shamsudin memberitahu bahawa beliau mahu terus kekal di Eropah selagi kontrak masih belum tamat.

Luqman yang kini bermain untuk sebuah kelab di Iceland iaitu Njardvik berkata agak rugi sekiranya beliau mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air kerana bukan mudah untuk mendapat peluang bermain di Eropah.


“Sekarang ini saya masih mempunyai baki kontrak dua tahun bersama K.V. Kortrijk dan selagi ada kontrak saya mahu berkelana di Eropah sampai habis kontrak sebab agak rugi jika saya tak kekal di Eropah sedangkan masih ada baki kontrak.

Bagi saya susah kalau dah balik Malaysia nak datang sini memang agak susah. Ni ada baki kontrak lebih baik saya kekal di sini. Mana tahu rezeki saya di Njardvik akan berterusan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Luqman, beliau tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan komunikasi bersama rakan sepasukan kerana kesemua mereka mampu berkomunikasi dalam bahagsa Inggeris.

Pemain berusia 21 tahun itu telah pun membuat debutnya bersama kelab tersebut dalam aksi Piala Iceland di mana Luqman telah beraksi selama 60 minit dan lebih manis lagi berjaya melakukan satu bantuan gol.

“Alhamdulillah, saya dapat membuat penampilan pertama saya secara rasmi. Walaupun sedikit bergelut apabila bermain ketika sedang berpuasa tapi saya lakukan juga kerana kedua-dua tugas itu adalah tanggungjawab saya, jadi tiada masalah langsung.

Untuk perlawanan itu saya bersyukur dan gembira dengan persembahan pasukan.”

Dalam pada itu, Luqman juga memberitahu fokusnya kini adalah untuk terus mendapatkan minit permainan dan menjaringkan gol supaya beliau bukan sahaja dapat kembali ke kelabnya K.V. Kortrijk tetapi juga mendapat minit permainan.

“Saya datang ke sini sebab saya nak dapatkan minit permainan kerana sukar untuk saya mendapatkan minit permainan di K.V. Kortrijk kerana mereka mempunyai ramai pemain-pemain senior berkualiti, jadi saya datang sini untuk cari minit permainan dan jaringkan gol untuk dapat peluang bermain di K.V. Kortrijk nanti.

Kalau tak ada peluang saya mungkin akan cari pasukan lain pula kerana seperti yang saya katakan tadi, rugi jika saya pulang kerana masih ada baki kontrak.”

Untuk rekod, kontrak Luqman bersama K.V. Kortrijk akan tamat pada 30 Jun 2025.