BAM gunakan khidmat legenda negara bimbing para pemain, jadi contoh yang baik melalui teladan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru sahaja mengumumkan bahawa legenda negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan badminton negara bagi program Road To Gold (RTG).
Pelantikan itu adalah bagi membimbing para pemain dalam merealisasikan misi negara medapatkan emas pertama pada Sukan Olimpik.
Ia dilihat satu pelantikan yang amat baik memandangkan Chong Wei mempunyai pengalaman yang luas beraksi di temasya sukan terbesar itu, pernah meraih tiga pingat perak.
Selain daripada pelantikan Chong Wei, BAM sebelum itu juga turut mengumumkan skuad Piala Sudirman dengan dua legenda negara, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock diberikan tanggungjawab sebagai panel penasihat teknikal untuk ABM.
Ia adalah satu perkara yang positif apabila melihat bekas pemain diberi tugas yang penting bersama badan induk badminton negara itu.
Selain daripada menghargai jasa mereka, pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh legenda badminton negara tersebut adalah amat ‘mahal’ dan berguna untuk pemain-pemain negara ketika ini.
Mereka yang pernah bermain di pentas tertinggi dan meraih banyak kejuaraan untuk negara pastinya dapat memberi tunjuk ajar, pengalaman serta sikap kepimpinan yang baik untuk para pemain negara dalam mengharungi kejohanan.
Selain itu, mereka juga pernah berdepan dengan negara-negara besar seperti China, Indonesia dan Jepun, justeru mereka boleh berkongsi cara-cara untuk berhadapan dengan negara tersebut.
Pemain-pemain negara harus mengambil peluang ini untuk mengambil sebanyak mungkin pengalaman serta tunjuk ajar daripada legenda-legenda tersebut.
Pada masa hadapan, diharapkan lebih ramai lagi legenda negara yang diberi peluang oleh BAM untuk berkhidmat membimbing para pemain.