Mongolia kini ada stadium tertutup Air Dome hasil tajaan FIFA
Setelah sekian lama menunggu, Mongolia akhirnya mendapat stadium tertutup mereka sendiri yang dikenali sebagai Air Dome.
Projek Air Dome adalah sebuah stadium yang ditaja sepenuhnya oleh Persekutan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi program FIFA Forward yang menyaksikan stadium tersebut akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan.
Air Dome sudah pun menjadi venue perlawanan persahabatan antarabangsa pertamanya baru-baru ini apabila pasukan Mongolia B-17 menentang Hong Kong.
Dengan angin kencang dan permukaan bumi diliputi oleh salji serta cuaca sejuk pada awal April tidak sesuai untuk perlawanan bola sepak di anjurkan di Mongolia.

Namun dengan adanya Air Dome, perlawanan bola sepak boleh diadakan berikutan stadium tersebut boleh menahan cuaca dari suhu -45C hingga 70C.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Mongolia (MFF) iaitu Terbaatar Dambijav mengucapkan terima kasih kepada FIFA atas dana pembinaan Air Dome yang mana ia akan membolehkan mereka bermain bola sepak sepanjang empat musim.
Pasukan wanita Mongolia B-17 kini sedang dalam persiapan bagi menghadapi kelayakan AFC B-17 Piala Asian Wanita untuk Kumpulan B.
Sementara itu, bola sepak Mongolia kini semakin berkembang dengan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk mencipta sejarah apabila skuad utama lelaki berjaya menewaskan Brunei dalam dua perlawanan ketika kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar untuk mara ke peringkat seterusnya buat pertama kali.
Terdahulu negara itu berdepan kesukaran kerana sering berdepan dengan cuaca yang ekstrim sekaligus menjadi cabaran besar mereka dalam membawa sukan bola sepak ke tahap berbeza.
Sebelum adanya Air Dome, segala aktiviti bola sepak terpaksa ditunda selama lima bulan setiap tahun dek cuaca sejuk beku di antara -15 hingga 30 dari bulan November ke Mac.
Ini merupakan satu petanda cukup positif untuk bola sepak Asia. Diharap Malaysia akan turut mendapat manfaat daripada FIFA untuk meningkatkan lagi bola sepak tanah air.
Malaysia kini mempunyai wakil di FIFA apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin kini merupakan salah seorang Ahli Majlis FIFA yang akan membawa suara dari Asia sekaligus akan memberi sedikit kelebihan buat Malaysia.
Sumber: FIFA