Laos panggil tiga pemain luar negara untuk Sukan SEA, mampu jadi duri dalam daging buat Malaysia
Skuad B-22 Laos sudah menyenaraikan 25 pemain bagi persediaan untuk menghadapi Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung pada Mei ini.
Turut dipanggil adalah tiga pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Theo Klein yang bermain bersama pasukan Omaha Mavericks di Amerika Syarikat, Roman Angot (Bahlinger SC II, Jerman) dan Victor Ngovinassack (Montceau, Perancis).
Ini menunjukkan betapa Laos begitu serius bagi memastikan mereka berjaya melepasi peringkat kumpulan pada edisi kali ini selepas kali terakhir pada tahun 2009.
Yang paling menjadi tumpuan adalah Angot yang bermain di posisi tengah, yang kerap mendapat peluang bermain bersama kelabnya.
Dengan adanya tiga pemain berkenaan yang mempunyai pengalaman di luar negara, pasti mereka dapat menjadi aset penting buat Laos di temasya tersebut.
Skuad B-22 negara kendalian E Elavarasan haruslah tidak memandang mudah cabaran Laos yang turut diundi bersama negara dalam kumpulan yang sama.
Walaupun rekod pasukan senior Laos tidak begitu baik apabila berdepan Malaysia, skuad mudanya pula pernah mengecewakan Malaysia beberapa kali, contohnya ketika Kejuaraan B-23 AFF tahun lalu yang menyaksikan Malaysia tewas dua kali kepada Laos di peringkat kumpulan, sekaligus tersingkir daripada kejohanan itu.
Pastinya skuad yang akan ke Sukan SEA kelak lebih baik dan kuat daripada skuad sebelum ini, dan mereka boleh menjadi duri dalam daging buat skuad negara.
Selain daripada Laos, Malaysia diundi dengan lawan sukar lain iaitu Thailand, Vietnam dan juga Singapura.
Jadi, perlawanan menentang Laos adalah misi wajib menang buat skuad B-22 negara, kerana Thailand dan Vietnam pastinya pasukan yang lebih sukar.