Petronella Douny gembira dengan peningkatan prestasi oleh Malayan Tigress B-17

231

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-17, Petronella Douny gembira dengan peningkatan yang dipamerkan oleh pemain-pemainnya sepanjang lapan hari menjalani latihan bersama walaupun latihan berlangsung pada bulan Ramadhan.

“Ya, prestasi pasukan semakin naik dan latihan akan tetap diteruskan. Apa yang saya boleh katakan adalah prestasi pasukan meningkat sejak dari hari pertama sehingga ke hari kelapan latihan.

Sejujurnya saya akui latihan di bulan puasa ini ada cabaran. Apa yang saya terapkan kepada pasukan supaya semua pemain bersemangat untuk berlatih iaitu saya adakan kelas untuk beri motivasi untuk mereka sentiasa bersemangat untuk teruskan latihan. Jadi semua beri kerjasama yang cukup baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Petronella juga mengakui kehadiran enam pemain dari skuad B-20 turut banyak membantu pemain-pemain baru yang menyertai pasukan bagi memastikan kesemua pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat.


Beliau juga dibantu oleh ketua jurulatih skuad B-20 negara iaitu Cameron Ng yang turut turun dalam sesi latihan.

Sebanyak 25 pemain dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat bermula 6 hingga 23 April ini bagi menghadapi kempen pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 yang akan berlangsung di Buriram, Thailand pada 26 April ini.

Dalam pada itu, Petronella tidak meletak sasaran yang tinggi untuk anak buahnya di kelayakan PIala Asia nanti, namun menuntut pemainnya mempamerkan aksi yang baik sepanjang kejohanan berlangsung.

“Keputusan memang semua orang nak tengok. Tapi bagi saya, saya menekankan bagaimana perkembangan bola sepak wanita kini mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain yang sudah berada di tahap yang lebih baik.

Bukan saya katakana pasukan ini tidak memuaskan tapi masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.”