Dooley 2.0? Berapa lamakah Gamel boleh bertahan di Sri Pahang?

156

Jika musim lalu bekas pengendali Sri Pahang FC, Thomas Dooley ‘direhatkan’ selepas tewas dua perlawanan awal liga super dan digantikan peranannya sebagai ‘advisor’ pasukan Tok Gajah. Beliau tidak lama kemudian mendedahkan kepincangan pasukan Pahang yang mempunyai fasiliti yang daif dan tidak memenuhi apa yang dijangkakannya.

Akibat mengkritik keadaan tersebut, beliau akhirnya digantikan semula oleh Dollah Salleh sebagai pengendali pasukan.


Memasuki musim baru, Christope Gamel yang juga merupakan bekas pembantu Dooley dilantik sebagai ketua jurulatih Pahang. Manakala Dollah kekal berada dalam barisan kepimpinan Tok Gajah sebagai pengurus. Persoalannya di sini, mengapa Pahang mengambil keputusan untuk melantik Gamel sebagai pengemudi Pahang sedangkan beliau adalah individu yang direhatkan bersama Dooley ketika awal musim yang lalu?

Tindakan pengurusan Pahang tersebut turut menimbulkan persoalan berapa lama pula Gamel akan bertahan sebagai pengendali Pahang? Kewujudan Dollah dalam barisan pengurusan Pahang juga menimbulkan sangsi adakah Dollah diletakkan di situ sebagai ‘back up’ plan seperti yang berlaku pada musim yang lalu juga pada awalnya sebagai pengurus pasukan?

Andai benar, Pahang sekali lagi akan terus berada di situasi tidak baik kerana musim lalu mereka berada di paras ‘cukup-cukup makan’ apabila menduduki tangga ke-10 Liga Super. Jika berlaku sebarang perubahan di saat-saat akhir pastinya skuad Tok Gajah ini sukar mendapat rentak dan beraksi dengan baik kerana berdepan konflik sebegini.

Kredit Foto : Facebook Sri Pahang FC

Peminat bola sepak Pahang menuntut agar kali ini pengurusan Pahang akan memberi peluang yang lebih lama kepada Gamel untuk membuktikan kemampuannya dan bukannya sekadar memberi penilaian berdasarkan prestasi mengendalikan beberapa perlawanan sahaja. Harapan mereka agar sejarah sama tidak akan berulang lagi pada musim ini memandangkan mereka perlu memperbaiki prestasi semasa Tok Gajah yang menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Gamel dilihat serius dalam mengemudi pasukan Tok Gajah musim ini dengan mengikat 8 orang pemain baru sekaligus bagi memperkuat barisan pemain Pahang musim ini. Rombakan besar-besaran ini diharapkan dapat memberi nafas baru kepada skuad Tok Gajah yang kemarau sebarang kejuaraan sejak kali terakhir menjulang Piala FA pada tahun 2018.

Sama ada skrip sama bakal berulang atau tidak itu bergantung kepada pihak pengurusan Pahang. Apapun selamat maju jaya untuk pasukan Pahang! Semoga  mampu memberi saingan sengit serta kembali menjadi Gergasi Pantai Timur dalam liga musim ini. Ale-ale Tok Gajah!