Walaupun latihan pada bulan puasa, ia bukan alasan untuk kami ‘miss’ latihan – Eriesya Dareena

127

Pemain pasukan kebangsaan wanita B-17, Eriesya Dareena tidak melihat bulan Ramadhan sebagai satu alasan untuk tidak memberikan komitmen tinggi dalam sesi latihan yang sedang berlangsung ketika ini.

Skuad Malayan Tigress B-17 kini sedang menjalani kem latihan pusat yang bermula pada 6 hingga 23 April 2023 sebagai persiapan bagi mengharungi kempen pusingan kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 di Buriram, Thailand pada 26 April ini.


“Alhamdulillah, setakat ini pemain beri kerjasama dan dengar cakap jurulatih walaupun kami berlatih dalam bulan puasa tapi itu bukan alasan untuk kami ‘miss’ latihan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dareena mengakui berlatih ketika di bulan Ramadhan memerlukan beliau untuk bekerja dengan lebih keras lagi bagi memastikan prestasinya setara dengan sama seperti prestasinya di hari biasa.

Dalam pada itu, Dareena berkata walaupun kebanyakan pemain dalam skuad kali ini adalah pemain-pemain baru namun mereka tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dan mendapat keserasian.

“Walaupun ada daripada kami yang pernah bermain sekali dalam skuad B-20, tapi ramai juga pemain-pemain baru dalam skuad B-17 kali ini.

Bagi memastikan kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat, kami sering berkomunikasi bagi mengenal pasti setiap kelebihan dan kelemahan masing-masing.”

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai peluang skuad negara di kelayakan nanti, pemain berusia 16 tahun itu optimis dan sasar untuk skuad negara berjaya layak.

“Setakat ini jurulatih belum letak sasaran tapi kami berharap dan berdoa agar dapat layak.”