Saya mahu pastikan tahap semua pemain Malayan Tigress sama hebat – Soleen Al-Zou’bi

81

Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zou’bi mahu memastikan semua pemain dalam pasukan itu mempunyai kualiti yang sama baik.

Beliau berkata bahawa ia penting supaya beliau mempunyai pilihan ramai pemain yang berkualiti dan tidak perlu mengharapkan kepada pemain yang sama.


“Apabila terdapat pemain yang cedera atau tidak dapat menyertai sesuatu kejohanan, kita perlukan pengganti.

Sebab itulah sekarang ini kami sedang fokus untuk memastikan semua pemain berada di tahap yang sama baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika sesi latihan skuad Malayan Tigress menjelang Sukan SEA Kemboja pada Mei ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa beliau bukan sahaja mementingkan latihan di dalam padang tetapi juga di luar padang untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

Jelasnya, ini kerana persembahan pemain di dalam padang dipengaruhi oleh perkara-perkara di luar padang.

“Kami sedang melatih pasukan ini bukan saja dari segi taktikal dan teknikal tetapi juga perkara di luar padang contohnya pemakanan, tidur, pemulihan dan lain-lain.

Ia adalah penting untuk membentuk sebuah pasukan profesional di peringkat permulaan.”

Beliau berkata, persediaan pasukan berada dalam keadaan baik dan mood di dalam kem adalah begitu positif.

Tambahnya, semua pemain menyesuaikan diri dengan amat baik tetapi masih terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki.