PSSI masih percayakan Shin Tae-yong untuk mengemudi Sang Garuda

289

Dunia bola sepak Indonesia kecoh apabila Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dikatakan bakal menawarkan kontrak kepada bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo untuk menjadi pengendali baru Indonesia.

Perkara itu pantas disangkal oleh Ketua Umum PSSI iaitu Erick Thohir yang menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah menghubungi Hang-seo, sebaliknya beliau masih mempunyai keyakinan tinggi kepada Tae-yong.


Kedudukan Tae-yong menjadi persoalan ramai apabila kontraknya bersama skuad Sang Garuda akan berakhir pada Disember 2023, sekaligus mencetuskan persoalan samada kontrak beliau akan disambung atau tidak.

Bola sepak Indonesia kini sedang berduka selepas hak penganjuran Piala Dunia B-20 2023 sebagai tuan rumah yang dijadual berlangsung pada bulan Mei ini telah ditarik balik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas pihak kerajaan tetap dengan pendirian mereka untuk tidak membenarkan pasukan Israel beraksi di bumi Indonesia.

Susulan hak tuan rumah ditarik balik, skuad B-20 Indonesia terpaksa melupakan impian mereka untuk beraksi di pentas Piala Dunia walaupun sudah lama melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan itu.

Walaupun kecewa, namun Erick tidak melihat ia sebagai satu pengakhiran untuk PSSI bersama Tae-yong sebaliknya beliau mahu bertemu dengan pengendali dari Korea Selatan itu untuk membincangkan kerjasama terbaru yang boleh dilakukan untuk meningkatkan lagi kualiti bola sepak Indonesia.

Apa pun sama-sama kita tunggu dan nanti perkembangan terbaru berapa lama kontrak Tae-yong akan disambung PSSI nanti.


Sementara itu, walaupun Hang-seo sudah mengundurkan diri sebagai pengendali Vietnam, namun namanya masih lagi sebutan ramai sehingga kini. Walaupun masih belum ada khabar berita mengenai ke mana destinasi seterusnya buat Hang-seo, namun ramai yang menjangkakan beliau akan terus kekal di Asia Tenggara.