Sabah FC mampu berada dalam Top 5 Liga Super 2022
Saingan Liga Malaysia bakal membuka tirai tidak lama lagi dan setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia terutamanya pasukan di Liga Super sedang rancak membuat persiapan.
Peminat masing-masing sudah mula membuat ramalan pasukan manakah yang mampu memberi saingan sengit untuk berada dalam kedudukan Top 5 Liga Super untuk musim 2022.
Antara pasukan yang menjadi sebutan ramai adalah Sabah FC. Jika sebelum ini pasukan Sabah dikatakan hanya sebagai pelengkap jadual namun untuk musim baru ini mereka menjadi antara pasukan yang awal membuat persiapan.
Sabah yang melakukan rombakan besar-besaran telah melantik bekas jurulatih kebangsaan dan bekas pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee untuk mengemudi pasukan itu.
Kim Swee tidak menunggu lama apabila beliau membawa masuk ramai pemain-pemain yang pernah bermain untuknya ketika mengendalikan skuad kebangsaan.
Antara pemain yang sudah sah bersama Sabah musim ini adalah dua tonggak utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali, Dominic Tan, Stuart Wilkin, Azhad Harraz, Damien Lim, Badrul Affendy, Dirga Surdi, Irfan Fazail, N. Thanabalan dan beberapa lagi.
Diberi jolokan skuad ‘reunion’, rata-rata peminat menjangkakan pasukan Sang Badak ini mampu menjadi pesaing utama Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah mendominasi Liga Super selama lapan musim berturut-turut.
Menerusi satu tinjauan yang dilakukan oleh Harimau Malaysia di media sosial, rata-rata peminat memilih pasukan JDT, Sabah FC, KDA FC, Selangor FC dan Terengganu FC sebagai pasukan yang mampu berada dalam Top 5 musim ini.
Ada juga peminat yang meramalkan pasukan KL City FC mampu beri saingan sengit selepas kejayaan mereka merangkul kejuaraan Piala Malaysia baru-baru ini.
Tidak dapat dinafikan KL City mempunyai sebuah pasukan yang mantap dan sering memberi masalah terutamanya kepada pasukan kuat tetapi persembahan tidak konsisten mereka membuatkan mereka selalu berada di kedudukan pertengahan.
Walaupun pasukan JDT, KDA, Selangor, Sabah dan Terengganu menjadi pilihan, namun peminat tidak boleh lupa dengan pasukan Penang FC.
Musim lalu Penang telah mengejutkan ramai apabila mereka yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Super berjaya menduduki tangga ketiga dalam Liga Super.
Bagaimanapun prestasi mereka menjunam teruk ketika saingan Piala Malaysia yang dikatakan berpunca dari masalah dalaman pihak pengurusan Penang.
Jangan lupa juga Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC, Melaka United FC, Sarawak United FC turut membuat persiapan rapi untuk saingan musim depan.
Manakala PJ City FC yang menggunakan seratus peratus pemain tempatan untuk musim ini turut menyasarkan untuk berada dalam kedudukan Top 5.
Sebenarnya saingan Liga Super untuk musim 2022 lebih meriah dari musim lalu apabila setiap pasukan kali ini tampak bersedia untuk mengharungi saingan liga dengan melakukan persiapan awal.
Walaupun peminat sedikit kecewa apabila pasukan Perak FC tidak lagi berada dalam Liga Super, namun kehangatannya masih dapat dirasai apabila peminat mula melihat saingan Liga Super bakal menjadi lebih menarik berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Jadi pasukan manakah yang bakal ditabal sebagai juara Liga Super untuk musim 2022? Adakah JDT akan terus mendominasi dengan kejuaraan kesembilan kali berturut-turut? Atau kita akan menyaksikan pasukan lain merampas takhta juara dari JDT? Sama-sama kita tunggu dan lihat.