Berapa agaknya jumlah sebenar FAM hutang TMJ?

3,461

Semalam peminat bola sepak kecoh di media sosial selepas pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris telah tampil dalam dalam satu temubual eksklusif bersama Astro Arena.

Pelbagai perkara yang diperkatakan oleh TMJ mengenai isu-isu semasa bola sepak termasuk mengenai insiden bakar suar oleh penyokong JDT di dalam Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang menarik perhatian ramai.


Bukan sekali tetapi tiga kali penyokong JDT membakar suar di dalam stadium dan apa yang membuatkan ramai berasa pelik adalah tiada sebarang kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap insiden ini.

Presiden FAM menyedari mengenai insiden bakar suar di dalam stadium dan berkata Jawatankuasa Tatatertib FAM akan menghantar surat tunjuk sebab kepada JDT.

JDT dijangka akan dikenakan tindakan denda dalam jumlah yang agak besar kerana melakukan kesalahan sama berulang kali sekaligus melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Susulan itu, TMJ dalam jawapannya mengulas mengenai insiden tersebut mengakui terdapat kesalahan yang dilakukan dan tidak menafikan kelabnya akan dikenakan tindakan denda.

Bagaimanapun baginda yang tidak tahu jumlah denda yang akan dikenakan kepada mereka berkata mungkin pihak FAM boleh menolaknya dari duit hutang badan induk bola sepak itu.

Persoalannya kini: berapa sebenarnya jumlah hutang FAM dengan TMJ? Berdasarkan kenyataan TMJ sebelum ini, baginda difahamkan telah mengeluarkan RM12 juta duitnya sendiri untuk melupuskan hutang lapuk FAM dan menyuburkan program-program akar umbi FAM.

Baginda turut membayar saman berjumlah saman RM1.4 juta oleh MP Silva terhadap FAM sebelum ini.

Jumlah keseluruhan adalah RM13.4 juta, tapi adakah jumlah ini adalah jumlah tepat atau jumlahnya jauh lebih besar?

Selain membayar hutang FAM, TMJ juga telah memberi tajaan penukaran rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil bernilai RM1.4 juta dan juga memberi sebuah bas rasmi untuk kegunaan pasukan kebangsaan.

Berapa agaknya hutang semasa FAM dengan TMJ ketika ini? Adakah FAM masih dalam proses membayar hutang secara ansuran? Jika ya, berapa lagi hutang yang tinggal?