Ramai atlet dari sukan badminton terpilih dalam program RTG bukan kerana berat sebelah – Presiden MOM dan BAM, Norza Zakaria

145

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan tiada isu berat sebelah tentang pemilihan atlet-atlet yang berada dalam senarai program Road To Gold (RTG).

Beliau berkata, kriteria mengenai pemilihan semua atlet itu adalah amat jelas, dan masih terdapat ruang untuk atlet lain disenaraikan selagi mana mereka menepati kriteria yang ditetapkan.


“Bagi saya perkataan berat sebelah adalah tidak betul, kerana kita dah letakkan dua kriteria yang muktamad iaitu bekas pemenang pingat pada Olimpik lalu dan mereka yang berada di ranking 10 dunia.

Sesiapa saja yang dapat tempatkan diri mereka dalam kelompok tersebut ketika proses kualifikasi selepas ini mereka juga akan diterima masuk ke dalam RTG,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penyenaraian ramai atlet daripada sukan badminton dalam program RTG yang diumumkan baru-baru ini.

Daripada senarai keseluruhan 15 atlet terpilih dalam program RTG, 11 daripadanya melibatkan sukan badminton.

Sementara itu, beliau berkata bahawa pihak BAM mencadangkan Datuk Lee Chong Wei untuk menjadi pengurus pasukan badminton RTG supaya para pemain mempunyai seorang mentor yang mampu membimbing mereka.

“RTG ini mewakili pemain profesional dan juga yang berada di bawah BAM yang kita satukan bawah satu program, mereka pasti perlukan seorang ikon dan mentor untuk membantu persiapan mereka menghadapi Olimpik.

Saya lihat tiada individu yang lebih sesuai berbanding Chong Wei kerana beliau mempunyai banyak pengalaman dan mempunyai objektif tersendiri untuk membantu negara mendapatkan emas pertama di Olimpik.”

Jelasnya, ini merupakan salah satu cara untuk Chong Wei menyumbang kepada pasukan badminton negara selepas persaraan beliau.