Pemain kacukan Malaysia, Dylan Van Wageningen cipta debut di Eridivise, mampu jadi prospek besar untuk Harimau Malaya
Sebelum ini, pemain B-21 Sparta Rotterdam, Dylan Van Wageningen mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan selepas beliau dikatakan layak mewakili negara kerana mempunyai pertalian darah dari sebelah datuknya.
Baru-baru ini, beliau telah melakukan debutnya bersama skuad utama dalam saingan Eridivise daripada bangku simpanan dalam kemenangan ke atas Heerenveen.
Pemain itu sebelum ini sering tampil bersama skuad B-21 kelab itu dalam saingan Jack’s League yang merupakan divisyen ketiga belanda, mencatatkan satu gol dan empat bantuan gol.
Beliau yang tahun ini berusia 20 tahun dilihat mampu menjadi aset buat negara pada masa hadapan, namun setakat ini, masih tiada perkembangan mengenai karier antarabangsanya.
Van Wageningen yang merupakan pertahanan kanan masih boleh membarisi skuad B-23 negara di bawah kendalian E Elavarasan.
Sekiranya beliau cukup bagus, beliau juga mungkin boleh dipertimbangkan untuk membarisi skuad senior kebangsaan di bawah bimbingan Kim Pan-gon.
Selain daripada posisi pertahanan kanan, beliau juga boleh beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan mempunyai fizikal yang amat baik dengan ketinggian 1.89 meter.
Apa yang penting adalah, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus segera berhubung dengan pemain itu untuk ‘mengikat’ beliau bersama Harimau Malaya.
Kejayaan beliau membuat debut bersama pasukan utama itu menyaksikan beliau kini sudah semakin mendapat kepercayaan jurulatih, dan dengan usianya yang masih muda, ia adalah satu pencapaiaan yang boleh dibanggakan.
Amat sayang sekiranya negara terlepas pemain berbakat besar seperti itu, justeru pastinya menjadi harapan peminat bola sepak negara untuk melihat beliau menyarung jersi Malaysia satu hari nanti.