Maaf, kami tiada cuti Aidilfitri kerana perlu teruskan latihan – Petronella Douny

121

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-17, Petronella Douny memberitahu bahawa pemain-pemainnya tidak akan mendapat cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini kerana perlu teruskan kem latihan pusat.

“Cuti raya saya minta maaf sebab kami tiada cuti raya kerana perlu teruskan latihan. Masa latihan juga suntuk,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Skuad B-17 negara menjalani latihan bermula 6 hingga 23 April bagi menghadapi kempen pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 yang akan berlangsung di Buriram, Thailand pada 26 April ini.


Petronella berkata latihan sudah pun berlangsung selama 13 hari dan setiap pemain telah memperlihatkan peningkatan positif walaupun menjalani latihan pada bulan Ramadhan.

“Latihan berjalan dengan lancar dan kami tetap meneruskan latihan. Apa yang saya dapat lihat kesemua pemain sudah bersedia kerana saya sudah memaklumkan lebih awal lagi berkenaan latihan ini terutamanya latihan pada bulan Ramadhan. Saya rasa mereka semua okay dan boleh terima.”

Dalam pada itu, beliau juga mengakui sering mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi.

“Untuk ya, kami sentiasa berkomunikasi dan berbincang sekiranya saya kebuntuan saya akan berhubung dengan beliau dan beliau akan bantu.”

Tambahnya lagi, pasukannya kini sudah siap sebanyak 60% termasuk pemain-pemain sudah dapat menyerap taktikal dan gaya permainan yang dimahukannya.

Malayan Tigress B-17 telah diundi dalam Kumpulan A bersama Northern Mariana, Indonesia dan juga Thailand.