Skuad Selangor FC musim ini cukup seimbang, kita juga ada ‘squad depth’ terbaik – Tan Cheng Hoe

438

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui skuad yang ada pada musim ini agak seimbang dan mempunyai squad depth yang begitu baik.

Beliau berkata bahawa persaingan yang ada dalam pasukan adalah sesuatu yang positif dan mampu membuatkan pemain sentiasa berusaha meningkatkan tahap mereka.


“Kita dapat lihat skuad tahun ini agak seimbang di bahagian penjaga gol, pertahanan, tengah dan juga serangan dan kita juga ada squad depth yang terbaik.

Setiap pemain haruslah tunjukkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan dan cuba memikat barisan kejurulatihan untuk berada di kesebelasan utama,”

katanya.

Beliau menganggap masih terlalu awal lagi untuk berpuas hati dengan persembahan pada musim ini kerana musim masih lagi panjang.

Jelasnya, sekiranya mereka terus menunjukkan konsistensi dalam setiap perlawanan sehingga ke hujung musim, mereka mampu mencapai sasaran yang diletakkan.

“Sebagai jurulatih kita masih belum mencapai satu tahap yang kita mahukan dan kita perlu kerja keras lagi.

Musim ini masih panjang, ada lagi tujuh atau lapan bulan lagi untuk kita terus berusaha sebelum berpuas hati.”

Cheng Hoe melihat bahawa persefahaman dalam pasukan kini semakin baik dan para pemain semakin faham apa yang beliau cuba terapkan.

Selangor menewaskan Terengganu FC 5-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ sebentar tadi.