Saya, Romel Morales dan Casagrande sedang tunggu proses naturalisasi selesai – Argzim Redzovic
Pemain Terengganu FC, Argzim Redzovic berharap proses naturalisasinya dapat dilengkapkan pada jendela perpindahan kedua akan datang supaya dapat didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Beliau berkata bahawa dirinya sudah berjumpa dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan keputusan akhir kini terletak di tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Semalam saya jumpa Setiausaha Agung FAM, Noor Azman dan beliau kata ia sedang dalam proses di pihak KDN, jika ada rezeki harapnya ketika jendela perpindahan kedua nanti.
Bukan saya saja tetapi juga Romel Morales dan Casagrande semuanya sedang dalam proses tetapi itu semua kerja KDN,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Argzim berkata, beliau pastinya berasa gembira sekiranya proses itu diselesaikan pada tempoh tersebut.
Sementara itu, beliau percaya permainannya kini lebih meningkat apabila sering diturunkan oleh dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
“Saya rasa saya semakin baik kerana diberi kepercayaan dalam tiga perlawanan sebelum ini tetapi ia tidak mudah buat saya dan pastinya ada tekanan.
Selain itu kita juga ada dua pemain import di bahagian pertahanan jadi peluang untuk bermain itu tidak menentu, contohnya pada hari ini kita kalah jadi perlawanan seterusnya tidak tentu lagi akan terus dipilih.”
Beliau bagaimanapun menyerahkan segala-galanya di tangan Allah dan jurulatih untuk menilai persembahannya.
Jelasnya, beliau akan terus berikan yang terbaik untuk terus mendapatkan kepercayaan jurulatih.