Saya nak buktikan kepada jurulatih saya layak berada di kesebelasan utama – Harith Haiqal
Pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal mahu membuktikan kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe bahawa beliau layak berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Pemain berusia 21 tahun itu menganggap rezekinya pada malam ini untuk menjaringkan satu gol dalam kemenangan 5-1 ke atas Terengganu FC sebentar tadi.
“Syukur alhamdulillah untuk kemenangan malam ini, rezeki saya dapat jaringkan gol tetapi apa yang penting adalah kita mendapatkan kemenangan.
Saya memang gembira dapat jaringkan gol sebab tahun ini baru dua perlawanan saya berada dalam kesebelasan utama, saya cuma mahu buktikan kepada jurulatih yang saya juga boleh berada di kesebelasan utama,”
katanya.
Jelasnya, pemain kebangsaan dan senior dalam pasukan seperti Brendan Gan, Faisal Halim, Khairulazhan Khalid dan Mukhairi Ajmal banyak memberinya semangat.
Sementara itu beliau turut mengulas mengenai pemilihan ke Sukan SEA Kemboja Mei ini dan menyatakan bahawa beliau mahu membawa Malaysia mara lebih jauh dari tahun lalu.
“Sasaran saya untuk Sukan SEA kali ini untuk mara lebih jauh berbanding tahun lalu iaitu ke perlawanan akhir.”
Harith berkata mengakui terdapat tekanan untuk beraksi di Sukan SEA akan datang tetapi sebagai pemain beliau harus menyerap segala tekanan yang datang.