Jika perlawanan Harimau Malaya di Terengganu berjaya, Borneo patut jadi destinasi seterusnya

419

Baru-baru ini peminat bola sepak di Pantai Timur terutamanya Terengganu teruja dan gembira apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengumumkan bahawa skuad Harimau Malaya akan mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dua perlawanan tersebut yang akan berlangsung pada Jun ini akan menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon akan menentang Yemen dan Kepulauan Solomons.


Pengumuman tersebut umpama ‘hadiah’ buat peminat bola sepak di Terengganu kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap mereka.

Dijangka bukan sahaja peminat Terengganu sahaja yang akan membanjiri stadium nanti, tetapi juga peminat bola sepak di Pantai Timur seperti Pahang dan juga Kelantan.

Dengan harga tiket kekal pada kadar RM30 bagi dewasa, FAM tidak akan berdepan masalah untuk menjualnya sebaliknya mereka mungkin berdepan masalah kekurangan tiket kerana permintaan tinggi daripada peminat.

Mungkin perlawanan skuad negara nanti akan dibanjiri puluhan ribu peminat berikutan stadium tersebut mempunyai kapasiti terbesar iaitu 50,000.

Jika perlawanan di Terengganu berjaya, maka FAM sudah boleh mempertimbangkan untuk membawa skuad negara bermain di lokasi berbeza selain Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang mana sambutannya cukup mengecewakan sebelum ini.

Antara destinasi yang boleh menjadi pilihan FAM selepas ini adalah di Borneo samada di Sarawak atau pun Sabah.

Ini kerana peminat di kedua-dua negeri ini sering dianaktirikan kerana majoriti mereka tidak berpeluang untuk menyaksikan pasukan kebangsaan kesayangan mereka beraksi dek kos yang tinggi perlu menyeberangi ke Semenanjung.

Jika FAM teruskan inisiatif untuk membawa skuad negara bermain di Borneo, sambutan yang bakal diterima pastinya cukup menggalakkan kerana sudah terlalu lama peminat bola sepak di sana ingin melihat pasukan kebangsaan mereka di tempat mereka.

Terdahulu, Hamidin memberitahu bahawa pihak FAM sedang dalam perancangan untuk membawa pasukan kebangsaan bermain di seluruh Malaysia bagi memberi peluang kepada peminat-peminat yang sebelum ini tidak berkesempatan untuk turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan skuad negara beraksi mendapat peluang berkenaan.

Selepas Terengganu, mungkin perlawanan persahabatan seterusnya boleh diadakan di Borneo dan seterusnya di utara tanah air.

Ia merupakan satu inisiatif yang cukup baik oleh FAM dalam mendekatkan peminat bola sepak dengan pasukan kebangsaan.