Roslin Hashim jadi pembaca berita sukan di RTM, boleh beri peluang kepada ramai lagi atlet selepas ini

580

Awal bulan ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berjaya mencuri tumpuan orang ramai apabila tampil membaca berita di saluran RTM untuk segmen Stadium RTM.

Kemunculan beliau mendapat pujian ramai pihak walaupun ia adalah pengalaman pertamanya membaca berita di kaca televisyen.


Baru-baru ini, legenda badminton negara, Roslin Hashim telah diberi peluang untuk menjadi pembaca berita di saluran RTM, juga untuk segmen Stadium RTM.

Ini adalah satu inisiatif yang baik daripada pihak RTM dalam meraikan legenda negara yang pernah menabur bakti, dan mengembalikan nostalgia buat para peminat mereka satu ketika dahulu.

Selain itu, memberi ruang kepada bekas atlet untuk membaca berita berkenaan sukan adalah satu perkara yang bijak memandangkan mereka sendiri terlibat dengan industri tersebut satu ketika dahulu, dan mempunyai pengetahuan dalam bidang berkenaan.

Mungkin ada dalam kalangan atlet yang sememangnya mempunyai bakat untuk menjadi pembaca berita, justeru ia dapat mencungkil bakat tersembunyi dan memberi platform untuk mereka menyerlahkan bakat.

Inisiatif ini wajar diteruskan lagi pada masa hadapan dengan memanggil lebih ramai lagi bekas atlet untuk membaca berita, lebih-lebih lagi untuk segmen sukan.

Peminat badminton negara pasti mahu melihat lebih ramai lagi atlet dari sukan itu muncul di kaca televisyen membaca berita, terutamanya pemain terbaik sepanjang zaman, Datuk Lee Chong Wei diberikan peluang.

Siapa tahu, di sebalik karisma serta ketangkasan yang ditunjukkan dalam gelanggang, beliau sebenarnya mempunyai bakat besar untuk membaca berita.

Ia juga satu cara yang baik untuk menarik lagi orang ramai untuk menonton berita kerana bekas atlet mempunyai pengikut mereka tersendiri.