Sukan adalah platform perpaduan untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia – Sharon Wee

529

Bekas pemain skuasy nombor satu negara, Sharon Wee menyifatkan bahawa sukan adalah satu wadah yang boleh mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini.

Beliau melihat sukan mampu memupuk semangat patriotik dalam diri setiap rakyat dan menjadikan setiap individu bersatu hati demi Malaysia.


“Saya lihat sukan adalah platform perpaduan negara yang berbilang kaum, contohnya apabila atlet negara bertanding di sesuatu kejohanan, di situ kita dapat lihat masyarakat berbilang kaum bersorak gembira memberi sokongan.

Saya sebagai atlet sendiri melihat sukan mengajar saya untuk berjuang dan bersatu hati demi negara kita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sharon berkata bahawa aktiviti sukan haruslah diterapkan dengan baik dari peringkat sekolah lagi kerana ia dapat memupuk kanak-kanak dengan nilai persahabatan dan patriotisme.

Selain itu, beliau juga melihat ia juga mampu mengajar sifat kepimpinan kepada pelajar sejak dari kecil.

“Sukan ini perlu ada di setiap peringkat daripada kanak-kanak di sekolah lagi, kemudian di universiti dan ketika dewasa.

Ia bukan saja untuk kesihatan tetapi apabila bermain bersama rakan-rakan ia sekaligus mengeratkan hubungan dan semangat patriotisme untuk Malaysia.”

Beliau sendiri bersyukur apabila didedahkan dengan aktiviti sukan dari peringkat sekolah lagi dan dapat mempelajari mengenai perpaduan daripada sukan.