Ini perlawanan yang bosan, PDRM FC banyak bertahan dan lambatkan masa – Esteban Solari
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan perlawanan Liga Super menentang pasukan PDRM FC sebentar tadi adalah satu perlawanan yang membosankan.
Beliau mengakui gembira dengan keputusan malam ini walaupun hanya menang 1-0, kerana anak-anak buahnya berjaya menguasai keseluruhan perlawanan.
“Saya rasa ia perlawanan yang membosankan bukannya sukar, kerana bagi saya perlawanan yang sukar adalah pasukan yang memberi saya cabaran, saya rasa PDRM banyak bertahan dan melambatkan masa.
Saya tak salahkan mereka kerana ini merupakan strategi mereka, ini adalah bola sepak dan semua pasukan boleh bermain seperti yang mereka mahukan,”
katanya.
Menurut Solari, beliau cuba memberikan persembahan yang baik dalam setiap perlawanan untuk penyokong yang hadir nikmati.
Jelasnya, kreativiti adalah penting dalam gaya permainan yang diterapkan olehnya, dan mereka sentiasa cuba untuk menjaringkan banyak gol bagi menghiburkan penyokong yang hadir.
“Saya rasa bola sepak cantik bila anda menyerang dan ada kreativiti, paling penting adalah persembahan yang anda berikan kepada penyokong.
Jangan lupa bola sepak adalah satu permainan dan permainan adalah untuk penyokong nikmati, mereka adalah nyawa bola sepak.”
Baginya, pemain terbaik untuk PDRM adalah penjaga gol, Nor Hakeem Hamidun yang melakukan banyak aksi menyelamat.
JDT masih gah di tangga pertama Liga Super selepas mencatat kemenangan dalam semua perlawanan musim ini, meninggalkan Selangor FC di tangga kedua dengan perbezaan lima mata.