Lawan JDT memang tak boleh main ‘open’ – Azzmi Ab Aziz
Ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Ab Aziz mengakui beliau memang merancang dari awal untuk bermain secara bertahan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Katanya, JDT adalah satu pasukan yang amat baik dan mereka tidak boleh bermain secara terbuka menentang pasukan sebaik JDT.
“Kita tahu JDT adalah satu pasukan yang amat hebat, memang kita tak boleh bermain secara terbuka menentang mereka, walau apa pun keadaan kita kena bertahan.
Tetapi kita cuba keluar apabila kita dapat peluang dan ia hanya tiba beberapa kali sahaja tetapi saya rasa ia keputusan yang baik buat kita,”
katanya.
PDRM tewas 1-0 kepada JDT hasil jaringan Fernando Forestieri pada minit ke-61 di Stadium MBPJ sebentar tadi.
Beliau memuji persembahan yang ditunjukkan oleh penjaga gol, Nor Hakeem Hamidun yang berjaya mengekang banyak peluang JDT untuk menambah gol.
“Hakeem sebenarnya bermain untuk pasukan B-23 dan kita cuba lakukan rotasi pemain pada hari ini untuk beri dia peluang bermain di Liga Super.
Bagi saya dia ambil peluang dengan sangat baik dan menggunakan kesempatan ini untuk menunjukkan kualitinya.”
Beliau memberi kredit kepada anak-anak buahnya walaupun tewas dan menganggap mereka bermain dengan amat baik.