Saya main ‘liga haram’ tiga tahun, sekarang main di Liga Super pula, ia satu cabaran yang baik – Jacque Faye
Pemain PDRM FC, Jacque Faye merasakan cabaran bermain di liga sosial dan Liga Super adalah amat berbeza dan ia adalah satu perkembangan yang baik untuk dirinya.
Beliau berkata bahawa kesemua individu dalam kelab itu daripada rakan sepasukan, staf kejurulatihan dan pihak pengurusan banyak membantu perjalanan kariernya sehingga ke tahap ini.
“Saya bermain di liga sosial atau ‘liga haram’ selama tiga tahun sebelum ini dan bagi saya ia adalah cabaran baik buat saya, sekarang saya bermain di Liga Super pula dan saya mahu terus fokus kepada karier.
Saya berterima kasih kepada semua orang dalam kelab ini kerana memberi kepercayaan kepada saya dan bantu saya bermain tanpa tekanan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau yang turut bermain bersama pasukan B-23 PDRM dalam saingan Piala MFL mengakui tidak berasa penat walaupun bermain dalam dua kejohanan.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada impiannya dan beliau gembira dapat membina karier dalam bola sepak.
“Setakat ini saya memang tak rasa penat, main bola adalah pekerjaan saya, jadi saya tak rasa penat.
Saya perlu bekerja keras kerana ini adalah impian saya sendiri, ini adalah sebahagian daripada cabaran untuk saya.”
Jelasnya, sasaran beliau untuk musim ini adalah untuk bermain lebih banyak perlawanan bersama PDRM.