Barisan kejurulatihan Harimau Malaya bertemu Xavi Hernandez, permulaan kepada kerjasama lanjut Malaysia-Barcelona?

1,167

Barisan kejurulatihan skuad bola sepak kebangsaan yang diketuai oleh Kim Pan-gon baru-baru ini dilihat telah melakukan lawatan ke Sepanyol dan bertemu legenda dan pengendali Barcelona, Xavi Hernandez.

Sekeping foto perjumpaan itu telah dimuat naik oleh jurulatih kecergasan Harimau Malaya, Park Ji-hyeon di laman Instagram beliau, yang turut kelihatan Pan-gon, Pau Marti (pembantu jurulatih), Cho Jun-ho (jurulatih penjaga gol) dan juga Lim Jae-hun (juruanalisis prestasi).


Ji-hyeon berterima kasih kepada Xavi kerana membenarkan mereka menonton sesi latihan yang dijalankan.

Sudah pasti ia satu pertemuan yang amat bermakna buat barisan kejurulatihan negara kerana dapat menuntut ilmu daripada salah satu kelab terbaik dunia.

Segala pengetahuan yang diperolehi daripada perjumpaan itu pastinya boleh memberi manfaat kepada pasukan Harimau Malaya sama ada dari segi taktikal, teknik latihan, pengurusan dan juga lain-lain.

Selain itu, hubungan yang kini sudah terjalin itu diharapkan tidak terhenti di situ sahaja dan dapat melakukan kerjasama dua hala pada masa hadapan.

Mungkin selepas ini para pemain juga turut mendapat peluang untuk mengadakan kem latihan di Barcelona, contohnya ketika pramusim.

Sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang besar untuk pasukan negara kerana berpeluang mendapat pengalaman berlatih di salah satu kelab terbaik dunia.

Kerjasama seperti ini juga mampu membuka ruang buat kelab-kelab tempatan untuk turut menjalankan kerjasama dua hala.

Sebelum ini, kelab amateur dari Terengganu, Kerteh FC juga pernah melakukan kerjasama dengan sebuah kelab berpangkalan di Barcelona iaitu UE Sant Andreu.

Jadi, tidak mustahil untuk kelab-kelab profesional tempatan untuk mengadakan kerjasama dengan pasukan luar negara seperti yang dilakukan oleh Kerteh.