Beraksi di saingan League Two hanya satu ‘downgrade’ buat Bergson
Kisah kejayaan pasukan Wrexham yang berjaya melayakkan diri beraksi ke saingan divisyen keempat England, League Two selepas menjuarai National League mendapat perhatian meluas daripada peminat bola sepak seluruh dunia.
Susulan kejayaan mereka beraksi di saingan English Football League selepas 15 tahun, penyokong kelab sudah mula teruja untuk melihat pihak pengurusan memperkuatkan pasukan sebelum saingan tersebut bermula.
Ada antara penyokong kelab itu yang ‘memetik’ nama bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson sebagai antara penggempur yang sesuai untuk mengetuai barisan serangan pasukan itu musim depan.
Menurut penyokong berkenaan, Bergson mempunyai nisbah jaringan yang cukup mengangumkan dalam Liga Super selain pernah menjadi penjaring terbanyak di Serie B Brazil.
Selain itu, saingan Liga Super turut dianggap sama tahap dengan pasukan-pasukan pertengahan National League, justeru Bergson dikatakan dengan mudah boleh menunjukkan aksi cemerlang apabila bermain di League Two.
Mungkin apa yang dikatakan itu adalah benar, tidak dapat dinafikan lagi kualiti yang dimiliki oleh Bergson amatlah baik dan boleh menjadi salah satu penyerang berbisa di saingan berkenaan.
Namun sekiranya Bergson betul-betul berpindah ke saingan League Two, ia sebenarnya boleh dianggap sebagai satu ‘downgrade’ buat dirinya.
Bermain di England memang satu impian buat mana-mana pemain bola sepak, tetapi di divisyen keempat bukanlah boleh dianggap sebagai satu perkara yang mengagumkan bagi pemain yang mempunyai standard seperti Bergson.
Lagipun, bermain di JDT membolehkan beliau beraksi di pentas bola sepak tertinggi Asia iaitu AFC Champions League (ACL), yang lebih kompetitif daripada League Two.
Jika beliau beraksi dengan cemerlang di ACL, berkemungkinan kelab dari Eropah yang bermain di divisyen pertama atau kedua akan berminat untuk mendapatkan khidmatnya, lebih baik daripada bermain di divisyen keempat England.
Pada musim ini, JDT juga sudah memperkuatkan pasukan mereka bagi menghadapi saingan ACL, jadi tidak mustahil Bergson mampu membawa JDT pergi lebih jauh dalam saingan tersebut.
Bermain untuk JDT, yang merupakan salah satu kelab terbaik di Asia juga pastinya pilihan yang lebih baik berbanding bermain untuk kelab divisyen empat England.
Lagipun segala-galanya sudah ada di JDT dari segi fasiliti, kebajikan, gaji dan lain-lain, berpindah ke divisyen empat England mungkin akan hanya menurunkan nilainya kini.