Lagi pengiktirafan antarabangsa buat JDT, SSI jadi wakil Malaysia pertama ke Persatuan Pengurusan Venue
Sejak mula dibuka pada tahun 2020, Stadium milik Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) berjaya memukau peminat bola sepak dari seluruh dunia dan boleh dianggap sebagai antara stadium bola sepak terbaik di dunia.
Dengan fasiliti berkelas dunia dan juga keadaan padang yang berkualiti tinggi, ditambah dengan atmosfera menakjubkan pada hari perlawanan membuatkan sesiapa saja yang menjejakkan kaki ke SSI akan berasa terpukau.
Baru-baru ini, SSI telah menerima satu lagi pengiktirafan apabila telah dijemput untuk menjadi wakil Malaysia ke Persatuan Pengurusan Venue (Asia dan Pasifik), menjadikan ia venue pertama di negara ini yang menerima penghormatan tersebut.
SSI telah dijemput untuk menjadi sebahagian daripada Asia-Pacific Venue Industry Congress ke-30 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Mei ini di Melbourne, Australia.
Ini adalah satu pengiktirafan yang amat besar buat JDT yang sentiasa berusaha meningkatkan tahap kelab itu sama ada dari segi infrastruktur, fasiliti, pasukan dan lain-lain.
Walaupun stadium tersebut baru saja dibuka selama tiga tahun, ia telah menerima penghargaan tersebut, yang satu-satunya daripada Malaysia.
Jelas menunjukkan bahawa JDT telah berada seribu langkah ke hadapan berbanding kelab-kelab lain di Malaysia yang masih perlahan untuk mengejar, malah ada yang semakin ke belakang.
Sepatutnya, kejayaan demi kejayaan dan pengiktirafan yang telah diraih oleh JDT harus dijadikan motivasi dan contoh buat pasukan lain untuk turut sama maju ke hadapan, serta merapatkan jurang di dalam dan luar padang.
Ia bukan sahaja dapat meingkatkan lagi tahap pasukan masing-masing, tetapi juga turut meningkatkan tahap bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
Segala pengiktirafan antarabangsa yang diraih JDT ini menunjukkan bahawa kelab Malaysia sebenarnya mampu menempatkan di kelompok terbaik, tetapi haruslah bersungguh-sungguh dalam melakukannya.