Kemboja ‘belanja’ tiket, hak penyiaran percuma untuk Sukan SEA, sambutan dijangka lebih meriah

177

Kira-kira seminggu lagi kejohanan Sukan SEA ke-32 bakal membuka tirainya di bumi Phnom Penh, Kemboja pada 5 Mei depan.

Sebanyak 11 negara akan terlibat dalam edisi kali ini, dengan 608 acara dipertandingkan daripada 37 jenis sukan.


Di Kemboja, bahangnya sudah amat dirasai dengan peminat seluruh negara begitu teruja untuk mendapatkan tiket yang diberi secara percuma kepada semua orang.

Menurut Persekutuan Bola Sepak Kemboja, tiket untuk menyaksikan acara bola sepak lelaki pada 29 April, yang melibatkan perlawanan antara Indonesia dan Filipina serta Kemboja dan Timor Leste, sudah pun habis diedarkan kepada orang ramai.

Bukan itu sahaja, keterujaan orang ramai juga turut disumbangkan oleh insiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Kemboja yang memberi hak penyiaran secara percuma untuk kejohanan itu.

Apa yang lebih mengagumkan adalah, hak penyiaran serta tiket percuma bukan sahaja diberikan kepada stesen televisyen serta warga tempatan sahaja tetapi juga luar negara.

Inisiatif ini bukan hanya untuk kejohanan Sukan SEA tetapi juga Sukan Para Asean ke-12 yang akan bermula Jun depan.

Walaupun Sukan SEA belum bermula, segala promosi yang dilakukan oleh pihak kerajaan menunjukkan ia akan menjadi satu kejohanan yang meriah dengan atmosfera yang menakjubkan.

Apa yang dilakukan oleh Kemboja ini adalah satu perkara yang wajar dipuji dalam memastikan Sukan SEA terus mendapat sambutan oleh peminat sukan di Asia Tenggara, di sebalik sambutannya yang kian merosot.

Ini merupakan kali pertama Kemboja menjadi tuan rumah sejak 64 tahun lalu, dan setakat ini mereka telah melakukan dengan amat baik dalam memastikan ia berjaya.

Dengan pemberian tiket dan hak penyiaran percuma, ia akan meningkatkan lagi jumlah tontonan Sukan SEA, sekaligus mengembalikan kehangatan kejohanan itu.

Mungkin apa yang dilakukan oleh Kemboja ini boleh dicontohi negara-negara tuan rumah pada masa hadapan, bagi menghargai peminat sukan di seluruh rantau Asia Tenggara.