Ricardo Goulart pemain naturalisasi China paling ‘tak berguna’, RM515 juta dibazirkan tanpa sebarang kaps antarabangsa

2,626

Bekas pemain Guangzhou FC, Ricardo Goulart baru-baru ini telah mengumumkan bahawa beliau akhirnya bersara sebagai pemain pada usia 32 tahun.

Beliau dianggap sebagai antara pemain import terbaik yang pernah mewarnai saingan Chinese Super League, namun beliau yang dinaturalisasikan pada tahun 2019 juga turut dianggap sebagai pemain naturalisasi paling ‘tidak berguna’ untuk negara itu.


Ini kerana, sejak mendapat warganegara China, beliau langsung tidak membuat sebarang penampilan untuk pasukan kebangsaan negara itu.

Apa yang lebih teruk adalah, segala usaha dan wang yang telah dibelanjakan untuk menaturalisasikan dirinya bukanlah sedikit jumlahnya dan akhirnya dibazirkan begitu sahaja.

Guangzhou telah membelanjakan 800 juta Yuan (kira-kira RM515 juta) untuk pemain itu termasuklah untuk melengkapkan proses naturalisasinya.

Selepas melalui musim yang cemerlang bersama Cruzeiro pada tahun 2014, Guangzhou kemudian membawa beliau ke Chinese Super League dengan yuran perpindahan sebanyak 15 juta Euro (RM73 juta) dan gaji sebanyak 4 juta Euro (RM1.9 juta) setahun.

Beliau kemudian bermain untuk kelab itu sehingga tahun 2018 sebelum dipinjamkan ke Palmeiras pada 2019, dan kembali ke China semula tahun berikutnya, tetapi dipinjamkan ke pasukan Hebei China Fortune.

Menurut laporan media China, Guangzhou menawarkan Goulart kira-kira 400 juta Yuan (RM257 juta) untuk memujuknya melakukan proses naturalisasi.

Namun, beliau gagal untuk mewakili China kerana tidak melepasi syarat yang ditetapkan FIFA iaitu perlu bermain selama lima tahun berturut-turut di sesebuah negara, kerana pernah dipinjamkan ke Palmeiras.

Kontraknya bersama Guangzhou akhirnya ditamatkan pada tahun 2021, dan sebelum kontraknya ditamatkan, beliau dilaporkan telah mengaut lebih daripada 200 juta Yuan (RM128 juta), selain 100 juta Yuan (RM64 juta) untuk yuran menandatangani kontrak serta yuran persaraan.

Apa yang membuatkan proses naturalisasinya lebih membazir adalah, beliau akhirnya kembali menjadi warganegara Brazil selepas ‘membuang’ kerakyatan China.

Tetapi tidak dinafikan sumbangannya untuk kelab itu sememangnya amat besar, berjaya menghadiahkan tiga kejuaraan liga, satu trofi AFC Champions League, satu Chinese FA Cup dan tiga Chinese FA Super Cup.

Beliau juga merupakan pemain terbaik serta penjaring terbanyak ACL pada 2015, selain pemain tahunan terbaik Persatuan Bola Sepak China sebanyak dua kali, dan lain-lain lagi anugerah peribadi sepanjang bermain di Guangzhou.

Namun, wang yang telah dibelanjakan oleh kelab itu untuk menaturalisasikan dirinya amatlah tidak berbaloi.

Kisah naturalisasi Goulart ini haruslah dijadikan pengajaran terutama kepada kelab tempatan supaya tidak terburu-buru untuk melakukan proses naturalisasi dan mengkaji terlebih dahulu manfaat yang dapat ditawarkan pemain itu kepada negara.

Ketika ini, kelab di Malaysia berlumba-lumba untuk menaturalisasikan pemain yang sudah cukup tempoh di Liga Malaysia, untuk mengosongkan kuota import.

Namun, sekiranya pemain berkenaan tidak memberi kelebihan kepada negara, lebih baik jika mereka kekal sebagai pemain import.

Harus diingat, naturalisasi bukan sahaja untuk manfaat kelab, tetapi apa yang lebih penting adalah apa yang boleh ditawarkan untuk negara kerana kerakyatan adalah satu perkara yang tidak ternilai.