Petronella Douny bimbang cuaca panas akan jejaskan pemainnya, tapi enggan jadikan ia sebagai alasan

129

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-17, Petronella Douny menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan cuaca panas di bumi Thailand nanti akan menjejaskan pemainnya terutama yang memakai tudung.

Petronella bagaimanapun enggan menjadikan keadaan cuaca sebagai alasan sebaliknya mereka akan kekal fokus untuk perlawanan pertama nanti.


“Saya rasa sedikit menyukarkan kerana cuaca di sini sangat panas. Walaupun cuaca di sini hampir sama di Malaysia tetapi bila sudah tiba di sini kami dapat rasai perbezaan.

Memang ada rasa sedikit risau dengan keadaan cuaca panas ini terutamanya kepada pemain kami yang bertudung, tetapi saya tidak mahu jadikan perkara itu sebagai alasan dan kami akan teruskan dengan perancangan kami,”

katanya.

Skuad Malayan Tigress akan membuka tirai kelayakan Piala Asia Wanita B-17 dengan menentang Kepulauan Mariana Utara pada 28 April sebelum menentang tuan rumah Thailand pada 30 April ini di Stadium Buriram City, Thailand.

Dalam pada itu, Petronella memberitahu anak buahnya sudah bersedia untuk menghadapi pusingan kelayakan selepas menjalani kem latihan pusat selama 18 hari.

Beliau pada masa sama turut menegaskan bahawa pasukannya hadir bukan sekadar mahu menjadi pelengkap jadual, sebaliknya akan memberikan saingan sengit.

“Kami ada 18 hari untuk membuat persiapan, jadi kami juga sudah bersedia.

Kesemua pemain-pemain mereka sangat teruja dan bagi saya kami sudah bersedia untuk memberi persaingan sengit untuk kejohanan ini.”

Sekiranya skuad Malayan Tigress berjaya menjadi juara kumpulan, mereka akan layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia Wanita B-17 yang dijadual akan berlangsung dari 16 hingga 21 September 2023.