Isu Liga Malaysia berehat bagi beri laluan pada Sukan SEA terus jadi pertikaian
Sejak beberapa hari ini peminat bola sepak tanah air kini sedang hangat memperkatakan mengenai isu Liga Malaysia berehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan B-23 yang akan menyertai temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Ramai peminat yang mempertikaikan mengapa saingan Liga Super perlu berehat lama sedangkan dari jumlah pemain yang dipanggil untuk menyertai skuad kendalian E. Elavarasan bukan pemain utama skuad utama, sebaliknya pemain yang kurang mendapat minit permainan.
Ada juga peminat yang berkata liga yang sepatutnya berehat adalah Piala MFL kerana liga tersebut dikhaskan untuk pemain B-23 kerana skuad yang akan bermain di Sukan SEA adalah pemain B-23.
Oleh sebab itu ramai yang mempertikai keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk merehatkan liga untuk tempoh dua minggu.
Dalam pada itu, disebalik pertikaian peminat mengenai isu ini, persoalan yang timbul adalah mengapa baru sekarang hendak menimbulkan isu ini sedangkan pihak MFL sudah pun mengeluarkan jadual liga untuk musim 2023 sebelum saingan liga bermula.
Bagi yang tidak tahu, jadual saingan Liga Malaysia yang dibuat oleh MFL adalah untuk memberi keutamaan kepada pasukan kebangsaan.
Mungkin ramai yang menganggap keutamaan kepada skuad negara adalah kepada skuad senior dan bukannya termasuk skuad junior.
Walaupun ramai yang berkata tiada keperluan untuk Liga Super berehat dek ramai pemain yang dipanggil bukan pemain utama dalam skuad, namun tetap ada beberapa pemain yang merupakan tonggak utama.
Antara pemain yang menjadi tonggak utama dalam skuad termasuk Sikh Izhan Nazrel yang merupakan penjaga gol utama Negeri Sembilan FC dan ketiadaan beliau pastinya akan menjejaskan sedikit di bahagian benteng akhir pasukan itu.
Selain itu, beberapa pemain lain seperti Mukhairi Ajmal (Selangor FC), V. Ruventhiran (Selangor FC), Harith Haiqal (Selangor FC), Azam Azmi (Terengganu FC), Azrin Afiq (Kedah Darul Aman FC) dan beberapa lagi walaupun bukan pilihan utama, namun kemasukan mereka sebagai pemain gentian sering memberi impak besar.
Manakala untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) pula mereka tidak berdepan sebarang masalah kerana pemain-pemain yang dipanggil beraksi di JDT II.
Oleh sebab itu MFL mengambil keputusan untuk menghentikan seketika saingan liga supaya setiap pemain yang dipanggil akan dilepaskan oleh pihak kelab memandangkan Sukan SEA tiada dalam kalendar FIFA.