Dion Cools di landasan tepat cipta sejarah rangkul gelaran ‘treble’ bersama Buriram United

160

Pemain bola sepak kebangsaan, Dion Cools yang bermain untuk kelab Thailand, Buriram United sedang melalui detik-detik indah di negara jiran itu selepas tiba di kelab itu pada Januari lalu.

Selepas menjulang trofi Liga Thailand pada hujung minggu lalu, beliau berpeluang mencipta sejarah meraih ‘treble’ selepas layak ke dua perlawanan akhir iaitu Piala FA Thai dan Piala Liga Thai.


Semalam, pasukannya berjaya menewaskan Prachuap untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir bertemu BG Pathum United.

Sekiranya Buriram United berjaya mendakap dua trofi berkenaan, Cools bakal mencatat sejarah menjadi pemain Malaysia pertama yang meraih ‘treble’ di Thailand.

Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan, lebih-lebih lagi jika diambil kira tempoh beliau berada di sana yang baru sahaja hampir empat bulan.

Beliau juga bukan sahaja hanya ‘menumpang’ kejayaan pasukan tetapi turut memainkan peranan penting membantu pasukan itu mencatatkan persembahan yang baik.

Pemain berusia 27 tahun itu beberapa kali dipilih dalam kesebelasan terbaik mingguan serta pernah tersenarai dalam kesebelasan terbaik bulanan.

Sejak tiba di kelab itu, beliau juga membuat penampilan dalam semua perlawanan liga serta Piala Liga Thai.

Mentaliti juara yang diterapkan dalam pasukannya ketika ini pastinya akan memberi manfaat buat negara apabila beliau dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Beliau masih boleh mengutip banyak lagi kejuaraan dan anugerah di Thailand kerana tempoh kontraknya bersama pasukan itu hanya akan tamat pada pertengahan tahun hadapan.

Sebelum ini, juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pernah dikhabarkan akan membawa beliau ke Malaysia selepas beliau dilepaskan oleh kelab Czech Republik, FK Jablonec, namun pemain itu memilih Thailand sebagai destinasinya.

Tidak mustahil selepas kontraknya bersama Buriram United tamat tahun hadapan, beliau akhirnya akan bermain di Liga Malaysia pula.

Jika ia berlaku, JDT adalah destinasi yang sesuai buatnya kerana reputasi yang dimiliki kelab itu sesuai dengan standard pemain sepertinya.

Bersama JDT, beliau boleh terus mengekalkan dominasinya di Liga Thailand bersama Buriram United kerana buat masa ini, tiada kelab yang dilihat mampu menyekat dominasi Harimau Selatan.