Vietnam ‘selamba’ hantar skuad B-20 untuk Sukan Asia dan Piala AFF B-23
Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengumumkan bahawa pihaknya akan menghantar skuad B-20 untuk menyertai kejohanan Sukan Asia September ini serta kejohanan AFF B-23.
Menurut badan itu lagi, pasukan B-23 pula akan fokus pada kelayakan AFC B-23 yang akan berlangsung pada September ini.
Ini adalah satu keputusan yang boleh dianggap ‘berani’ oleh negara itu untuk mengambil risiko membariskan skuad yang lebih muda pada kedua-dua kejohanan itu, di mana had umur yang ditetapkan adalah tidak melebihi 23 tahun.
Namun, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad B-20 Vietnam pada kejohanan AFF B-20 bulan lalu, mereka membuktikan mampu bersaing dengan gergasi-gergasi Asia di peringkat kumpulan.
Vietnam menamatkan saingan di tangga ketiga dalam kumpulan yang terdiri daripada pasukan Australia, Qatar dan Iran, hanya terlepas slot ke pusingan kalah mati disebabkan perbezaan jaringan.
Pencapaian memberangsangkan itu adalah di bawah bimbingan ketua jurulatih, Philippe Troussier yang baru mengambil alih pasukan pada Februari 2023.
Sudah pasti keputusan yang dilakukan oleh VFF untuk menghantar skuad B-20 ke kedua-dua kejohanan itu adalah hasil perbincangan dengan Troussier.
Troussier adalah satu nama yang tidak asing lagi bagi skuad bawah umur Vietnam kerana pernah melatih pasukan B-19 dan B-23 negara itu.
Jadi, tidak hairanlah beliau meletakkan kepercayaan kepada pasukan B-20 untuk bersaing di kedua-dua kejohanan itu kerana beliau tahu kekuatan ‘ubi’ muda negara itu.
Ini dilihat sebagai satu permulaan yang baik untuk era Troussier, di mana pemain-pemain muda diberikan pendedahan lebih awal lagi.
Ditambah pula dengan reputasi baik Troussier dalam membimbing pemain-pemain muda, Vietnam akan memiliki pilihan pemain yang lebih banyak lagi yang terdiri daripada pemain-pemain muda.
Apa yang dilakukan oleh beliau ini dilihat sebagai satu pelan jangka masa panjang dalam menyambung legasi yang dibawa oleh bekas ketua jurulatih, Park Hang-seo.