Thailand diperkuat dengan dua pemain yang berpengkalan di Eropah untuk Sukan SEA 2023

419

Pasukan kebangsaan Thailand menjadi antara yang terawal mengumumkan senarai pemain yang akan memperkuatkan pasukan menjelang temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja pada bulan hadapan.

Sebanyak 20 pemain disenaraikan dan menariknya dua pemain yang berpengkalan di Eropah iaitu Chayapipat Supunpasuch dan Achitpol Keereerom turut dipanggil untuk memperkuatkan pasukan bagi memastikan misi untuk memperoleh ibu segala pingat di Sukan SEA berjaya direalisasikan.


Chayapipat Supunpasuch adalah pemain pertahanan tengah berusia 22 tahun kini beraksi di Campeonato de Portugal yang merupakan liga divisyen empat di negara itu.

Seorang lagi pemain iaitu Achitpol Keereerom yang bermain sebagai penyerang untuk FC Augsburg II di Regionalliga Bayern iaitu liga divisyen empat di Jerman.

Walaupun bermain di divisyen empat, kedua-dua pemain ini bukan hanya sekadar memanaskan bangku simpanan sebaliknya mereka sering diturunkan dalam kesebelasan utama.

Mereka juga mempunyai minit permainan yang banyak sekaligus memberi amaran awal kepada pasukan lawan bahawa mereka berada pada prestasi terbaik untuk bantu pasukan mereka mencapai sasaran.

Skuad Gajah Perang merupakan pasukan paling banyak merangkul pingat emas dalam bola sepak lelaki dengan 16 kali bergelar juara.

Untuk Sukan SEA, Thailand telah diundi dalam Kumpulan B bersama Malaysia, Vietnam, Singapura dan Laos.

Dalam pada itu, pasukan Malaysia pula sehingga kini masih lagi belum mengumumkan senarai pemain yang membawa cabaran Harimau Malaya di Sukan SEA nanti.

Skuad kendalian E. Elavarasan telah menjalani kem latihan pusat Fasa 1 bermula 19 April hingga 21 April dan akan menyambung latihan Fasa 2 bermula 24 April.

Walaupun masih belum mengumumkan senarai 20 pemain yang akan ke Kemboja, namun rata-rata peminat sudah dapat menjangkakan pemain manakah yang akan terpilih berdasarkan prestasi semasa mereka bersama kelab masing-masing.

Skuad Harimau Muda akan memulakan perlawanan pertama mereka pada 3 Mei ini menentang Laos sebelum menentang Thailand pada 6 Mei.

Mereka kemudian akan bertemu juara bertahan Vietnam pada 8 Mei sebelum menutup tirai peringkat kumpulan menentang Singapura pada 11 Mei.

Sementara itu, selain Thailand yang cuba untuk mendapatkan pingat emas ke-17 mereka pada edisi kali ini, Malaysia turut memasang impian sama iaitu mahu menamatkan kemarau 12 tahun pingat emas dalam acara bola sepak lelaki.