Pemain dan pasangan perlu berhati-hati dengan posting di media sosial

1,268

Sememangnya kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional adalah kerjaya yang cukup popular di seluruh dunia kerana ia berkait rapat dengan dunia populariti dan juga lumayan.

Tidak dapat dinafikan ada kalanya populariti seseorang pemain bola sepak menjadikan mereka sebagai selebriti dan juga idola kepada ramai termasuk pemain bola sepak muda yang memasang impian untuk mengikut jejak langkah mereka.


Dengan status sebagai public figure, maka apa yang dilakukan oleh mereka akan sentiasa menjadi perhatian ramai dan sering diperkatakan.

Itulah harga yang perlu dibayar oleh pemain-pemain ini apabila mereka memilih kerjaya ini di mana mereka terpaksa mengorbankan privasi mereka dek populariti yang dikecapi oleh mereka.

Populariti seseorang pemain itu tidak terhad kepada dirinya sahaja, sebaliknya orang terdekat terutamanya isteri dan anak akan turut terkena tempiasnya.

Oleh sebab itu, mereka perlu berhati-hati dalam setiap tindakan mereka termasuk memuat naik status atau pun gambar di media sosial kerana ia mungkin akan mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk kontroversi.

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila nama penjaga gol Kelantan FC, Rozaimi Rahamat terpalit dengan kontroversi apabila beliau dikatakan salah seorang daripada individu dalam skuad tersebut yang cuba membuka pekung pihak pengurusan selepas kelab itu dikatakan berdepan masalah gaji.

Kontroversi tercetus selepas satu posting di Instagram Story yang didakwa luahan hati pemain itu; ‘Ingatkan penuh, rupanya separuh pun tidak sampai. Hahahaha.”

Isteri kepada pemain tersebut yang dikenali sebagai Puan Rose bagaimanapun telah tampil menjelaskan perkara sebenar dengan berkata posting tersebut tidak ada kena mengena dengan masalah kelab suaminya.

Tambahnya lagi, posting yang dibuat tersebut adalah di akaun Instagram miliknya dan bukannya milik suaminya dan username yang diguna adalah gabungan namanya dan suami.

Walaupun Puan Rose telah tampil menjelaskan situasi sebenar, namun tangkap layar itu sudah pun tersebar dan ia telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang kurang enak buat The Red Warriors.

Ini bukanlah kali pertama isu membabitkan posting daripada isteri pemain bola sepak telah mencetuskan spekulasi.

Antara insiden sama yang pernah berlaku adalah kepada penyerang kebangsaan Darren Lok pada hujung musim lalu apabila isterinya secara tidak sengaja dan secara tidak langsung mendedahkan kelab baru suaminya selepas membuat posting mencari rumah sewa.

Ini kerana Darren yang ketika itu bermain untuk PJ City FC dikhabarkan bakal berhijrah ke pasukan baru selepas kelab PJ City mengambil keputusan untuk tarik diri dari saingan Liga Super.

Banyak spekulasi yang timbul mengenai destinasi beliau dan pemain itu sendiri mengambil pendekatan untuk kunci mulut apabila ditanya mengenai kelab barunya.

Namun berikutan posting oleh isterinya itu, destinasi baru yang sepatutnya menjadi rahsia sudah terdedah.

Selain itu, ada juga beberapa lagi insiden sama berlaku di mana posting yang dimuat naik oleh isteri mencetuskan kontroversi dan suami mereka yang terkena tempias.

Mungkin selepas ini pemain-pemain ini perlu memantau posting-posting yang dibuat oleh isteri mereka di media sosial terutamanya yang mempunyai akses kepada akaun media sosial mereka.

Ini kerana salah faham mungkin akan timbul walaupun tujuan posting tersebut sebenarnya tiada kena mengena dengan isu yang sedang berlaku.

Bak kata pepatah lebih baik mencegah dari merawatnya. Terlajak perahu boleh berpatah balik, terlajak kata buruk padahnya.