Tak kisah walaupun menang dengan ‘split push’, siapa yang pecahkan kristal dialah pemenang – HomeBois
Pasukan HomeBois tidak kisah dengan cemuhan yang dilemparkan segelintir penyokong mengenai gaya permainan ‘split push’ mereka ketika bertemu RED Esports dalam aksi suku akhir upper bracket MPL MY musim ke-11 sebentar tadi.
Jelas pasukan itu, dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang, apa yang penting adalah memastikan objektif memecahkan kristal pihak lawan tercapai walau apa pun caranya.
“Dalam permainan ini siapa yang pecahkan kristal pihak lawan dialah yang pemenangnya, jadi kalau terlibat dalam team fight sehabis baik pun jika kristal lawan tidak pecah, memang tak akan menang.
Teknik ‘split push’ itu memang keputusan yang dibuat oleh pemain ketika dalam permainan itu kerana melihat ruang yang ada untuk tamatkan permainan, barisan kejurulatihan pun terkejut kerana menyangka HomeBois sudah hampir tewas,”
katanya.
HomeBois di ambang kekalahan dan berisiko tersingkir daripada MPL MY musim ke-11 selepas RED Esports menunjukkan kebangkitan pada perlawanan kedua, namun tindakan pemain HomeBois, Anip yang melakukan ‘split push’ berjaya memastikan pasukan itu mendapatkan kemenangan untuk mengheret ke perlawanan ketiga.
HomeBois kemudiannya menunjukkan dominasi pada perlawanan ketiga, seterusnya memastikan pasukan itu menempah tempat ke separuh akhir upper bracket esok.
Dalam pada itu, pasukan itu mengakui bahawa mereka sudah bersedia untuk turun bertemu juara regular season, SMG pada perlawanan esok.
“Memang kami dah buat persediaan untuk lawan SMG esok, kita sentiasa perbaiki kesilapan dalam setiap perlawanan, dan apabila tewas kita akan perbaiki kekurangan dalam perlawanan tersebut.
Dari segi motivasi pula, barisan jurulatih sentiasa memberi kata-kata semangat dan mengingatkan supaya tidak menyalahkan antara satu sama lain walau apa pun berlaku.”
HomeBois akan turun menentang SMG dalam pusingan separuh akhir upper bracket MPL MY musim ke-11 yang dijangka bermula pada pukul 3 petang.