RED Esports tersingkir dari MPL MY disebabkan kesalahan saya kerana terlalu paksa diri – Muhammad Farhan Ibrahim

245

Jurulatih RED Esports, Muhammad Farhan Ibrahim menyalahkan dirinya berikutan pasukan itu tersingkir daripada kejohanan MPL MY musim ke-11 selepas tewas pada pusingan suku akhir upper bracket sebentar tadi.

Farhan berkata bahawa beliau terlalu memaksa dirinya untuk membuat segala-galanya sehinggakan tidak melakukan persediaan yang baik untuk pasukan RED Esports.


“Bagi saya 70 peratus adalah salah saya kerana saya sebenarnya macam memaksa diri sendiri untuk buat semua, saya seorang pelajar, juga jurulatih untuk pasukan MPL, dan jurulatih untuk Sukan SEA juga.

Benda itu buatkan saya burnout, jadi bagi saya kekalahan ini sebenarnya disebabkan saya sendiri yang tidak bersedia,”

katanya.

RED Esports tersingkir daripada saingan MPL MY musim ke-11 selepas tewas di tangan HomeBois 2-1 sebentar tadi.

Farhan mengakui meletakkan jangkaan yang lebih tinggi untuk aksi playoff MPL MY ini berdasarkan latihan yang telah mereka lakukan.

Namun beliau menganggap rezeki tidak menyebelahi pasukannya walaupun semua pemain telah menunjukkan prestasi yang bagus.

“Apabila tewas di peringkat enam teratas ini memang kami kecewa kerana kami letakkan jangkaan lebih lagi, saya tidak kecewa dengan para pemain tetapi saya tahu semua kecewa dengan diri masing-masing kerana kami mampu buat lebih daripada ini.

Apa-apa pun saya bangga dengan pemain kerana mereka telah menunjukkan peningkatan dan gaya permainan yang baik, mungkin kekurangan kami adalah dari segi konsistensi.”

Dalam pada itu, para pemain RED Esports berterima kasih kepada peminat-peminat mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan itu sejak dari minggu pertama.

Mereka bertekad akan menunjukkan peningkatan pada saingan MPL MY musim hadapan.