Saya sangat berharap satu hari nanti Malaysia akan layak ke Piala Dunia – Berlin Leong

113

Pemain bola sepak wanita kebangsaan, Berlin Leong Xin Ying menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan Malaysia untuk layak ke Piala Dunia Wanita satu hari nanti.

Berlin berkata demikian setelah melihat perkembangan yang cukup positif bola sepak tanah air selepas Soleen Al-Zoubi dilantik sebagai ketua jurulatih Malayan Tigress.


“Saya sangat berharap satu hari nanti Malaysia akan layak ke Piala Dunia. Saya tahu ia akan menjadi satu perjalanan yang sukar dan banyak kerja yang perlu dilakukan tapi saya yakin dengan kemampuan ketua jurulatih baru yang mempunyai trek rekod yang cukup bagus.

Jadi dengan bimbingan beliau saya yakin bola sepak Malaysia akan mendapat banyak manfaat daripadanya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bola sepak wanita kini sudah mula memperlihatkan perkembangan positif sedang berlaku, namun malangnya ia masih lagi diperingkat amatur walaupun perubahan dilakukan dengan memperkenalkan saingan liga berbanding kejohanan karnival sebelum ini.

“Struktur yang bagus dari peringkat akar umbi sehingga peringkat senior perlu diberi penekanan dan saya rasa ketua jurulatih ketika ini sedang bekerja keras untuk merealisasikannya.

Jadi saya teruja untuk menunggu dan melihat pembangunan bola sepak wanita nanti.”

Dalam pada itu, Berlin memberitahu bahawa beliau tidak berasa kesal atau kecewa langsung apabila kurang mendapat minit permainan apabila terpilih dalam skuad Malayan Tigress untuk beraksi di Piala AFF Wanita 2022 baru-baru ini.

Pemain itu menjelaskan bahawa kejohanan Piala AFF tahun lalu ada yang penampilan pertamanya bersama skuad senior, oleh itu beliau perlu banyak belajar lagi.

“Saya sebenarnya bersyukur kerana dapat minit permainan walaupun tidak banyak. Saya gembira dapat bermain kerana ini merupakan panggilan pertama saya dalam skuad senior, jadi saya harap selepas ini saya akan dapat lagi panggilan untuk sarung jersi negara.”