Saya langsung tak gembira di Kelantan FC, jurulatih dari Korea itu buatkan saya jadi pemain lebih teruk – Carli de Murga
Bekas pemain Kelantan FC, Carli de Murga menyifatkan tindakan beliau ‘angkat kaki’ daripada pasukan itu selepas hanya beberapa perlawanan adalah kerana tahap bola sepak di kelab itu yang bagitu teruk.
Beliau berkata bahawa bekas ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik adalah seorang jurulatih yang teruk dan beliau merasakan dirinya seorang pemain yang semakin teruk apabila bermain di bawahnya.
“Sebelum ini ada jurulatih dari Korea Selatan yang saya pun tak tahu saya boleh gelarkan beliau jurulatih atau tidak kerana tahap latihannya amatlah teruk, ibarat beliau melatih pemain berusia 10, 12 tahun. Sebagai pemain profesional anda sentiasa mahu tingkatkan tahap anda tetapi berlatih di sana saya rasa buatkan saya jadi pemain yang lebih teruk.
Kemudian mereka pecatnya dan jurulatih yang datang selepas itu bagi saya lebih teruk. Saya boleh ambil seorang pekerja 7 Eleven daripada mana-mana dan pekerja itu boleh jadi jurulatih yang lebih baik daripada kedua-duanya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jelasnya, beliau langsung tidak gembira sejak menyertai kelab itu dari hari pertama dan akhirnya bertindak untuk keluar daripada kelab itu.
Beliau berkata bahawa Kelantan sebenarnya sebuah pasukan yang mempunyai pemain yang bagus dan sepatutnya berada di tangga pertengahan liga dengan apa yang mereka ada.
“Saya langsung tak gembira di Kelantan, selepas saya keluar daripada JDT saya fikir mungkin saya tidak bersedia untuk ke kelab lain selepas merasai standard bola sepak yang tinggi di JDT jadi saya berehat seketika, tetapi saya rindukan bola sepak dan menyertai Kelantan.
Kelantan ada ramai pemain yang bagus, saya yakin di bawah jurulatih dan pengurusan yang bagus ia boleh berada di pertengahan liga ketika ini.”
Beliau berkata, pada mulanya JDT berhasrat untuk menyambung kontraknya namun tidak berbuat demikian selepas persembahannya tidak begitu memberangsangkan bersama kelab itu pada separuh kedua musim lalu.
Jelasnya, persaingan di JDT begitu sengit dan standard yang diperlukan adalah tinggi, jadi sesiapa yang tidak menunjukkan prestasi yang baik tidak akan dikekalkan.