Arif Aiman sudah bersedia beraksi di Eropah – Carli de Murga

647

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Carli de Murga menyifatkan bahawa bekas rakan sepasukannya, Arif Aiman sudah bersedia untuk beraksi di liga Eropah berdasarkan kualiti yang ada padanya.

Beliau berkata bahawa JDT sangat beruntung memiliki pemain seperti Arif, dan pemain berusia 21 tahun itu juga turut beruntung bermain untuk pasukan JDT.


“Arif adalah seorang pemain yang hebat dan saya rasa beliau sudah bersedia bermain di liga yang lebih baik, di mana-mana liga Eropah.

Semakin lama, beliau akan menjadi pemain yang lebih matang dengan pengalaman yang diraih, saya rasa beliau boleh sesuaikan diri dengan baik di Eropah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sementara itu, beliau menganggap bahawa JDT merupakan pasukan yang mempunyai standard yang amat tinggi, lebih tinggi daripada beberapa pasukan di liga utama Eropah.

Beliau berkata bahawa kejayaan JDT adalah hasil daripada kerja keras pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Bagi saya tanpa TMJ bola sepak Malaysia tidak akan ke mana, anda boleh lihat peningkatan yang ditunjukkan oleh pasukan kebangsaan hasil daripada usaha beliau, bagi saya baginda adalah ‘wajah’ bola sepak Malaysia.

Di JDT saya boleh anggap ia sebagai tempoh terbaik dalam karier saya kerana saya menang semua piala domestik yang ada, tahap di kelab itu amat tinggi.”

Beliau mengakui apabila menandatangi kontrak untuk JDT, beliau pada mulanya menyangkan bahawa beliau akan diletakkan di dalam skuad JDT II, namun berjaya menembusi skuad utama.

Beliau bersyukur dapat berkhidmat untuk kelab itu walaupun dalam tempoh sekejap dan berjaya menjulang banyak piala.