Petronella Douny bangga dengan aksi Malayan Tigress berjaya menang besar menentang Kepulauan Mariana Utara

1,028

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-17, Petronella Douny meluahkan rasa gembiranya apabila pasukannya memulakan kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 dengan langkah kanan selepas membelasah Kepulauan Mariana Utara 5-1 petang tadi.

“Saya sangat berbangga dengan persembahan pemain-pemain saya tadi dan berharap kami akan terus konsisten untuk perlawanan selepas ini,”

katanya.

Pada perlawanan petang tadi, penyerang negara Rocillyeka Lole telah berjaya menjaringkan empat gol pada minit 11′ 35′ 80′ 82′ sebelum Adlin Bandi melengkapkan kemenangan berjaya Malayan Tigress pada minit ke-89′.


Gol saguhati Kepulauan Mariana Utara pula dijaringkan oleh Kaithlyn Chaves pada minit ke-29′.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perlawanan terakhir menentang Thailand, Petronella mengakui anak buahnya akan berdepan tugas yang cukup sukar, namun akan cuba memberikan yang terbaik untuk cuba membuat kejutan.

Terdahulu Thailand mempamerkan kualiti mereka apabila membelasah Kepulauan Mariana Utara 11-0.

Sementara itu, penjaga gol utama Daliea Eliese meluahkan rasa bersyukurnya apabila mereka berjaya mengutip tiga mata penuh petang tadi.

“Alhamdulillah kami berjaya capai kemenangan tadi. Bagi saya kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang baik. Saya harap kami dapat teruskan prestasi cemerlang ini untuk perlawanan terakhir nanti.”

Skuad negara akan berdepan misi ‘mustahil’ pada 30 April ini apabila mereka perlu membenam pasukan Gajah Perang sekiranya mereka mahu layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024.