Kami akan buat lebih baik dari Sukan SEA edisi lepas – Safwan Mazlan

382

Pemain tengah pasukan kebangsaan B-23, Safwan Mazlan memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukan akan memberikan aksi terbaik mereka bagi memastikan prestasi mereka di temasya Sukan SEA 2023 lebih baik berbanding edisi lalu.

“Bagi saya kami akan buat lebih baik dari Sukan SEA edisi lepas kami kalah pada perlawanan untuk pingat gangsa dengan Indonesia.

InsyaAllah pada edisi kali ini kami akan buat lebih baik lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Safwan merupakan antara salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih E. Elavarasan bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Muda bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2023 yang akan berlangsung di Kemboja pada bulan Mei ini.


Walaupun barisan kejurulatihan masih belum menyenaraikan 20 pemain yang akan dibawa ke Kemboja nanti, namun pemain Terengganu FC itu yakin dengan kemampuannya untuk terpilih.

Malah beliau juga berjanji tidak akan mensia-siakan peluang sekiranya mendapat kepercayaan Elavarasan.

“Bagi saya kalau dapat terpilih ke dalam skuad saya akan buat yang terbaik untuk pasukan, negara dan keluarga.”

Dalam pada itu, beliau juga mengakui cabaran skuad negara pada temasya edisi kali ini lebih mencabar kerana perlu berdepan pasukan bagus seperti Thailand, Vietnam, Singapura dan Laos.

Skuad Harimau Muda yang dijadual akan berlepas ke Kemboja pada 2 Mei ini akan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos pada 3 Mei, kemudian menentang Thailand pada 6 Mei, Vietnam pada 8 Mei sebelum menutup saingan bertemu Singapura pada 11 Mei.